Search This Blog

Monday, September 28, 2015

Polis tahan 2 lelaki, rampas pistol bersama peluru hidup



GEORGETOWN: Polis menahan dua lelaki dan merampas sepucuk pistol bersama lima butir peluru hidup di tempat letak kereta Lebuh Love di sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid, berkata lelaki yang berusia 30-an dan 40-an itu ditahan dalam pemeriksaan terhadap sebuah kereta Proton Perdana pada 3.30 pagi yang diekori dan dilaporkan hilang dari Lebuh Muntri.
"Turut dirampas ialah dua paket plastik mengandungi ketulan dadah jenis syabu, beberapa telefon bimbit dan sebilah pisau yang dijadikan kepala tali pinggang," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata, siasatan polis mendapati kedua-dua lelaki terbabit positif dadah.
Sementara itu, Mior Faridalatrash, berkata polis menahan seorang penuntut kolej swasta dan memburu dua lagi lelaki yang disyaki anggota kongsi gelap yang menyerang dua individu pada 8 pagi, 22 September lalu.
Beliau berkata, penuntut kolej berumur 21 tahun itu ditahan di Jalan Air Terjun di sini pada 11 malam dan polis merampas 12 bilah parang yang dipercayai diguna sebagai senjata untuk menyerang mangsa menyebabkan dua individu lelaki berkenaan cedera parah di kepala dan badan.
Siasatan awal polis mendapati serangan itu dipercayai akibat pergaduhan antara dua kumpulan kongsi gelap, katanya.
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment