Komander PPM Wilayah 2, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, pihaknya berjaya merampas sebanyak 38,400 bungkus rokok pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM370,611 termasuk cukai.
Beliau berkata, dalam kejadian pukul 2.30 pagi itu, bot ronda yang menjalankan operasi di perairan Desaru, Bandar Penawar mengesan sebuah bot laju yang menggunakan dua enjin sangkut 200 kuasa kuda dalam keadaan mencurigakan.
“Setelah diarah untuk berhenti, bot laju itu terus memecut untuk meloloskan diri, namun berjaya ditahan apabila mendarat di tepi pantai berhampiran Kompleks Sukan Air dan Udara Bandar Penawar.
“Dua suspek terjun dari bot dan melarikan diri ke kawasan hutan pesisir pantai. Pemeriksaan ke atas bot tersebut mendapati ia penuh dengan muatan bungkusan plastik hitam berisi 23,700 bungkus rokok seludup pelbagai jenis,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Khon Chiang berkata, bertindak atas maklumat yang disalurkan oleh bot ronda tersebut kira-kira pukul 4 pagi, PPM kemudiannya membuat serbuan di kawasan daratan ber­kenaan.
“Apabila sampai di kawasan tersebut, kelihatan beberapa orang sedang memunggah barangan ke dalam sebuah kereta sebelum bertindak melarikan diri ke dalam hutan berhampiran setelah men­yedari kehadiran polis,” katanya.
Beliau berkata, nilai rampasan termasuk kereta Mercedes Benz Elegance E320, bot dan rokok seludup pelbagai jenis itu diangggarkan berjumlah RM460,000.