Search This Blog

Monday, September 28, 2015

Perjalanan pulang bertukar tragedi, maut dalam nahas



MACQUIED CHEN maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Kampung Mambong-Sarig, Padawan, Kuching semalam.


KUCHING – Perjalanan pulang seorang remaja lelaki ke rumah keluarganya di Kampong Mambong di sini selepas berjumpa dengan rakannya bertukar tragedi apabila dia maut dalam kemalangan ngeri di Jalan Kampung Mambong-Sarig, Padawan awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, mangsa, Macquied Chen, 19, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat putus tangan kanan dan kecederaan parah pada beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Ng Ah Lek berkata, semasa kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan dari arah Kampung Sarig menuju ke kediaman keluarganya di Kampung Mambong di sini.
Bagaimanapun katanya, sebaik sampai di lokasi kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave telah bertembung dengan sebuah kereta Proton Wira yang datang dari arah bertentangan.
"Siasatan awal mendapati, kereta yang datang dari arah Kota Padawan dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu bertembung dengan motosikal mangsa," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Menurutnya, akibat perlanggaran itu, mangsa yang masih belum bekerja tercampak beberapa meter di atas bahu jalan berkenaan.
Katanya, pemandu kereta yang berusia 30 tahun itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0928&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz3n1YXrgHg 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment