Suspek yang berusia 41 tahun ditahan sepasukan anggota polis yang menyerbu rumahnya pada pukul 11.30 malam.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Muhammad Ismail Muhammad Yusof berkata, dalam serbuan itu polis merampas sebanyak 10 bungkus plastik berisi dadah jenis ganja seberat empat kilogram di dalam rumah suspek yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM10,000.
“Kesemua dadah jenis ganja itu ditemui pada badan suspek dan di bilik tidur rumahnya. Siasatan awal mendapati setiap satu kilogram ganja itu dijual pada harga RM2,500.
“Suspek akan membungkus ganja itu kepada peket-peket kecil dan dijual dengan harga RM50 hingga RM200 kepada pelanggan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di sini hari ini.
Menurut Muhammad Ismail, hasil ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis ganja.
Suspek yang bekerja sebagai pemandu lori kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah dan Seksyen 15(1)(a) kerana memasukkan dadah dalam badan.
Sementara itu Muhammad Ismail berkata, dalam operasi kira-kira 2 pagi di sebuah banglo di sebuah pusat peranginan di daerah ini, pihak- nya menahan 26 daripada 41 orang yang menghadiri pesta liar kerana didapati positif mengambil dadah.
“Sebahagian mereka merupakan pekerja swasta serta penganggur dan diundang ke pesta tersebut melalui aplikasi WhatsApp dan Wechat serta tidak dikenakan sebarang bayaran,” katanya.
Tambah beliau, dalam serbuan itu polis turut menahan seorang lelaki yang memiliki dadah jenis ganja seberat empat gram dalam rumah persendirian itu yang dilengkapi lampu disko, pembesar suara, deejay dan alat muzik.
Hasil saringan air kencing, polis mendapati sebanyak 21 lelaki dan empat perempuan yang diperiksa positif mengambil dadah.
Kesemua mereka ditahan untuk tindakan lanjut dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.