Portal berita channelnewsasia.com melaporkan, penunjuk pe­rasaan menyatakan kerajaan Indonesia tidak serius menangani masalah kebakaran yang berlaku sehingga mengakibatkan Kalimantan Tengah berada dalam keadaan darurat dan penduduk kini menderita akibat penyakit pernafasan dibawa jerebu.
“Kami mahu pasukan pengurusan bencana bersiap sedia lebih awal dalam melindungi kesihatan orang ramai. Selain itu, kami mahu beberapa tindakan dilakukan terhadap mereka yang melakukan kebakaran demi mencari keuntungan,” kata seorang peserta demonstrasi, Ali Wardana.
Tunjuk perasaan itu berlaku di luar pejabat gabenor yang melibatkan pelajar dan aktivis dari 10 buah organisasi termasuk pertubuhan Save Our Borneo dan Walhi serta sebuah kumpulan penyokong alam sekitar Indonesia.
Kebanyakan penunjuk pera­sa­an sanggup menempuh cuaca yang berjerebu dan memedihkan hidung, walaupun Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Palangkaraya mencecah 1,955 pada pukul 2 petang waktu tempatan hari ini, semata-mata bagi menyuarakan kemarahan mereka.
Seramai 20 anggota keselamatan dikerah bagi mengawal pintu masuk ke pejabat gabenor, namun para penunjuk perasaan mengugut akan memasuki pejabat itu sekiranya mereka tidak dihiraukan.
Hanya sebahagian mereka kemudian dibenarkan memasuki premis berkenaan.
Asia Tenggara termasuk Malaysia dan Singapura sejak beberapa tahun lalu mengalami jerebu setiap tahun yang berpunca daripada amalan tebang dan bakar di Kepulauan Sumatera dan Kalimantan, Indonesia.