Penolong Kanan Pendaftar Mah­kamah Majistret, Nabilah Md. Roslan membenarkan permohonan reman oleh pihak polis itu sehingga Khamis depan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Kamal Hisham, 45, direman bagi membantu siasatan polis berhubung kes pecah amanah dan menipu mengikut Seksyen 409 dan 420 Kanun Keseksaan.
Dia yang memakai baju T berwarna biru dan berseluar jean tiba di pekarangan kompleks mahkamah di sini pada pukul 9 pagi dan ditemani dua peguam, G.K. Sritharan dan Mohd. Ashram Zakaria.
Ahli keluarganya turut hadir ke mahkamah.
Semalam, Kamal Hisham mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pecah amanah melibatkan wang berjumlah RM533,000.
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut pada Disember 2009 dan Oktober 2010 terhadap dua syarikat yang mahu menyewa ruang niaga di JB Sentral, iaitu syarikat Met Mint (M) Sdn. Bhd., dan Point Convenience Shop Sdn. Bhd., masing-masing berjumlah RM515,000 dan RM18,000.
Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz membenarkan tertuduh diikat jamin RM300,000 dengan dua penjamin selain diminta menyerahkan pasport kepada mahkamah dan perlu melapor diri ke balai polis berhampiran setiap dua minggu.
Sebutan semula kes itu adalah pada 30 September ini.
Kamal Hisham ditahan di Singapura pada pukul 11 pagi, Rabu lalu oleh polis negara jiran itu selepas waran tangkap dikeluarkan terhadapnya sebelum ini.
Difahamkan, tertuduh yang mempunyai pejabat guaman di Dubai berkunjung ke republik tersebut untuk melawat ahli keluarganya yang mendapatkan rawatan di negara berkenaan.