Mayat bayi yang masih bertali pusat itu ditemukan dalam keadaan menyayat hati apabila mulutnya diikat menggunakan plastik sebelum seluruh tubuhnya dibalut menggunakan kain batik.
Mayat tersebut ditemukan oleh seorang penternak lembu, Md. Jamil Samad, 65, yang dalam perjalanan ke kebunnya untuk melihat lembu.
“Ketika tiba di kebun pada pukul 1.30 petang semalam, saya lihat kesemua lembu sedang mengerumuni sesuatu.
“Apabila pergi ke arah kumpulan lembu berkenaan, saya ternampak ada plastik sampah berwarna hitam yang diikat menggunakan tali dengan objek seperti tangan kanan bayi terkeluar darinya.
“Saya segera menghubungi imam masjid dan memintanya ke lokasi sebelum seorang lagi penduduk menghubungi pihak polis,” katanya.
Menurut Md. Jamil, polis tiba beberapa minit kemudian dan mengesahkan terdapat mayat bayi perempuan di dalam plastik berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintenden Hamzah Alias berkata, bayi perempuan seberat empat kilogram (kg) berkenaan dipercayai dilahirkan kurang dari 12 jam sebelum mayatnya ditemukan.
“Mayat berkenaan ditinggalkan di dalam kebun kelapa sawit dengan jarak 400 meter dari jalan kampung Felda Palong Dua.
“Ketika ditemukan tiada sebarang kecederaan pada bayi, masih mempunyai tali pusat dan tiada uri di jumpai,” katanya.
Ujar Hamzah, mayat bayi itu dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar untuk siasatan lanjut dan operasi mengesan ibu bayi berkenaan sedang giat dijalankan.
Tambahnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.