Search This Blog

Sunday, September 6, 2015

Longgok duit Syeikh

 Amir Abd Hamid dan Mohd Firdaus Ibrahim

am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Longgok jutaan wang tunai dalam mata wang dolar Amerika Syarikat (USD) kononnya ‘Dana Islam’ untuk diurus dan diagihkan kepada golongan asnaf di Malaysia menjadi taktik dua lelaki untuk mengumpan beberapa ahli perniagaan sebelum bertindak melesapkan wang mangsa.

Dua suspek terbabit, seorang warga tempatan berusia 71 tahun dan seorang lagi lelaki Afrika berusia lewat 30-an dilapor sudah memperdaya puluhan ahli perniagaan dan tokoh korporat untuk menjadi pengurus kepada dana itu sebelum mereka menghilangkan diri.

Sehingga kini, sekurang-kurang lima mangsa sudah membuat laporan polis berhubung penipuan berkenaan membabitkan kerugian puluhan juta ringgit.

Menurut sumber, setiap ahli korporat berminat ataupun bersetuju menguruskan dana berkenaan diarah membayar sejumlah yuran.

“Di sini dua suspek itu membuat keuntungan dengan melarikan jutaan ringgit duit yuran diserahkan mangsa,” katanya.

Dalam kejadian terbaru, dua lelaki terbabit memperdaya pengarah syarikat berusia 75 tahun membabitkan kerugian RM18 juta.

Mangsa yang menyedari ditipu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 21 Ogos lalu.

Semakan mendapati kes berkenaan dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Diminta menjelaskan modus operandi dua pembelit profesional itu, sumber itu berkata, suspek pertama iaitu warga tempatan dikesan berperanan sebagai pencari mangsa yang selalunya terdiri daripada golongan korporat ataupun ahli perniagaan.

“Dia (warga tempatan) kemudian membawa mangsa ke bilik hotel terkemuka di ibu kota untuk berbincang mengenai urusan perniagaan sebelum memperkenalkan kepada rakannya (warga Afrika) yang menunggu di bilik berkenaan.

“Setiap mangsa mendakwa warga Afrika itu memperkenalkan diri sebagai sheikh ataupun imam serta berperwatakan warak bagi meyakinkan mangsa,” katanya.

Katanya, dalam sesi perbincangan, suspek mengarahkan mangsa memeriksa longgokan wang dalam mata wang USD diletakkan dalam beg pakaian atas meja.

“Syeikh itu menerangkan kepada mangsa wang itu Dana Islam untuk golongan miskin di negara ini. Dia (Syeikh) mendakwa wang itu perlu diuruskan individu amanah dan wang itu juga tidak boleh digunakan untuk aktiviti haram apatah lagi perjudian,” katanya.

Diminta menjelaskan kejadian terbaru membabitkan wang tunai RM18 juta itu, sumber itu berkata, mangsa mendakwa mengenali suspek warga tempatan sejak enam tahun lalu.

“Warga tempatan itu memujuk dan menasihatkan mangsa menerima tanggungjawab sebagai pengurus kepada Dana Islam selepas diperkenalkan kepada sheikh itu mengikut modus operandi sama. Mangsa yang termakan pujukan kemudian bersetuju.

“Mangsa dilapor menyerahkan wang tunai kepada lelaki warga tempatan berkenaan. Setiap serahan dilakukan di kawasan parkir hotel dan parkir sekitar ibu kota.

“Mangsa mendakwa menyerahkan wang itu secara berperingkat. Ada kalanya RM200,000, RM300,000, RM500,000 kepada warga tempatan itu,” katanya memberitahu, dia rugi RM18 juta kerana diperdaya kumpulan terbabit.

Sumber itu turut memberitahu, pihaknya sedang menyiasat kemungkinan sindiket black money mendalangi kes penipuan seumpama ini kerana membabitkan warga Afrika.

“Ada kemungkinan ini modus operandi baru kerana mereka menyedari penipuan cara lama digunakan mereka sudah diketahui umum dan pihak berkuasa,” katanya mengakui, semuanya masih di peringkat awal siasatan.

Difahamkan, mangsa hanya menyedari ditipu selepas gagal menghubungi dua lelaki terbabit sebelum membuat laporan polis.

Seorang ahli perniagaan yang mahu dikenali sebagai Ali, 45, berkata, dia kerugian RM200,000 kerana diperdaya dua lelaki terbabit.

“Saya pada mulanya ditawarkan wang US$7 juta dalam beg pakaian besar untuk diuruskan dua lelaki terbabit. Saya perlu membayar RM3 juta kepada kumpulan itu sebagai yuran.

“Mungkin disebabkan tamak saya bayar RM200,000. Dua minggu kemudian saya curiga kerana mereka (suspek) sering mendesak supaya menjelaskan baki wang. Saya akhirnya tarik diri kerana yakin mereka penipu.

“Saya sedar mereka penipu apabila suruh pulangkan kembali RM200,000 itu...selepas saya minta balik, mereka konon bersetuju untuk pulangkan, namun keesokannya gagal dihubungi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2015 @ 5:12 AM
DISYORKAN
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/75594#sthash.j9oydbMN.dpuf

No comments:

Post a Comment