Search This Blog

Monday, September 28, 2015

Kelibat mencurigakan

Oleh Arifin Salleh

am@hmetro.com.my
Alor Gajah: Sebuah rumah kedai setingkat di Taman Sebang Gemilang, Gadek, di sini, yang disita pihak berkuasa tempatan (PBT) sejak seminggu lalu terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat.


Difahamkan kebakaran jam 8 malam kelmarin bermula daripada beberapa longgokan sampah di dalam premis terbabit sebelum orang ramai yang menyedari kejadian menghubungi bomba.

Penduduk Md Ali Masran, 52, mendakwa sebelum kebakaran, dia melihat kelibat lelaki tidak dikenali dalam keadaan mencurigakan berhampiran premis itu.

Katanya, dia curiga dengan kehadiran individu berkenaan berikutan api dari premis terbabit marak selepas lelaki itu meninggalkan lokasi kejadian dalam keadaan tergesa-gesa.

“Saya berada di luar rumah melihat kelibat lelaki berkenaan berhampiran rumah kedai terbabit seperti melakukan sesuatu.

“Tidak lama kemudian saya lihat percikan api diikuti asap dan ketika itu kebakaran merebak.

“Api marak pantas dan saya dibantu beberapa jiran cuba memadamkan kebakaran, namun usaha memasuki dalam premis terbantut kerana bahang panas dan risau terperangkap,” katanya.

Md Ali berkata, risau kebakaran merebak ke premis bersebelahan orang ramai menghubungi talian kecemasan mendapatkan bantuan bomba.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah Pegawai Bomba Kanan II Suhairi Supian berkata, pihaknya menerima panggilan Pusat Gerakan Operasi (PGO) mengenai kebakaran jam 8.15 malam.

“Seramai 11 pegawai dan anggota bersama jentera dan ambulans dikejarkan ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran dan api dipadamkan sepenuhnya pada 8.57 malam.

“Penduduk mendakwa api bermula daripada puntung rokok dibuang individu tertentu dan ia menyambar longgokan sampah dalam premis sebelum merebak ke bahagian lain,” katanya.

Suhairi berkata, maklumat itu hanyalah dakwaan daripada penduduk berhampiran dan siasatan lanjut dilakukan untuk mengetahui punca kebakaran itu berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2015 @ 5:11 AM

Orang ramai melihat premis yang terbakar.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/80629#sthash.M01x3hzb.dpuf

No comments:

Post a Comment