Search This Blog

Saturday, September 5, 2015

Kebakaran hutan ancam Tasik Baikal



AFP - IMEJ yang dirakam pada 30 Ogos lalu menunjukkan dua pekerja cuba memadamkan kebakaran hutan di wilayah Irkutsk, Siberia.


MOSCOW – Kebakaran hutan di kawasan tasik air tawar terbesar dunia di Siberia kini mengancam kehidupan penduduk tempatan sehingga menimbulkan keraguan terhadap keupayaan Rusia melindu­ngi warisan alam semula jadinya.
Sebilangan pengkritik me­nyalahkan pihak berkuasa ke­rana lambat bertindak sehinggakan api menjadi sukar dikawal. Kebakaran di sekitar Tasik Baikal itu meningkat empat kali ganda pada bulan lalu sekali gus memaksa penduduk tempatan berlindung daripada bahan kimia beracun yang tersebar ke udara.
Terbentuk sekitar 25 juta tahun dahulu, Tasik Baikal diiktiraf sebagai tasik paling tua dan paling dalam di dunia, manakala air dan kawasan sekitarnya me­nyimpan hidupan liar dan tumbuh-tumbuhan unik.
Api kini menjulang tinggi di kawasan hutan berdekatan tasik berkenaan terutamanya di tebing sebelah di rantau Buryatia. Kebakaran itu memusnahkan kawasan hutan tiga kali lebih besar daripada kemusnahan yang berlaku akibat kebakaran hutan di California, Amerika Syarikat pada tahun ini.
Kelmarin, sebanyak 36 kebakaran marak ke kawasan hutan dan tanah gambut seluas 1,434 kilometer persegi di rantau ber­kenaan, kata agensi perhutanan negeri Siberia.
“Semuanya rentung,” kata pengurus sebuah hotel 15 bilik di tebing sebelah timur Tasik Baikal, Oksana Mukhina.
Menurutnya, dia tidak pernah menyaksikan kebakaran hutan yang sebegitu luas di rantau Siberia. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0905&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3koM8UOwh 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment