Search This Blog

Sunday, September 6, 2015

Identiti 6 mayat mangsa bot karam dikenal pasti


ANGGOTA penyelamat memindahkan mangsa bot karam di pusat operasi mencari dan menyelamat di Jeti Hutan Melintang, hari ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
HUTAN MELINTANG: Identiti enam daripada 24 mangsa yang terkorban dalam tragedi bot karam di perairan Sabak Bernam kelmarin telah dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata identiti enam mangsa iaitu empat wanita dan dua lelaki dikenal pasti melalui pengecaman anggota keluarga.
"Lima mayat dikenal pasti melalui pengecaman waris di Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun manakala satu mayat lelaki di Hospital Teluk Intan dikenal pasti melalui dokumen pengenalan yang ditemui pada mayat.
"Identiti mayat yang lain masih belum dikenal pasti oleh kerana waris mangsa masih belum tampil serta pihak kedutaan masih mencari identiti mangsa," katanya kepada pemberita di pusat operasi mencari dan menyelamat di Jeti Hutan Melintang di sini hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan, sebahagian besar mangsa berasal dari Acheh, Indonesia.
Mohd Shuhaily juga berkata, operasi pencarian telah diperluaskan kepada 25 batu nautika daripada lokasi kejadian berikutan penemuan sembilan mayat di sekitar kawasan berkenaan sejak dua hari lepas.
"Pasukan mencari dan menyelamat beranggapan bahawa mayat yang masih belum ditemui sudah hanyut disebabkan faktor ombak dan angin," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata bot sepanjang 40 kaki itu hanya boleh membawa 10 hingga 15 penumpang sahaja.
"Hasil soal siasat ke atas mangsa yang terselamat mendapati penumpang yang menaiki bot tersebut sekitar 70 hingga 80 penumpang.
"Siasatan turut mendapati sebilangan mangsa memiliki dokumen perjalanan sah, namun mereka menetap di negara ini melebihi daripada tempoh yang dibenarkan sebelum mengambil keputusan untuk pulang ke kampung halaman secara haram," katanya.
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment