Azizah Ismail, 48, berkata, dia dan ahli keluarganya berbuat demikian kerana tidak berpuas hati berhubung dakwaan yang mengaitkan kematian Shairie Azizi membakar diri sendiri berhampiran sebuah pasar raya dekat sini.
Menurutnya, keraguan itu timbul berikutan keadaan seluar yang dipakai anaknya ketika kejadian serta kasut dan beg sandangnya tidak terbakar.
“Mustahil jika dia membakar diri, seluar yang dipakainya langsung tidak terbakar. Jika dia curahkan minyak petrol dari atas kepala, sudah tentu api akan menyambar semua yang dipakainya.
“Malah, selepas kejadian itu, adik Shairie Azizi ada pergi ke tempat dia dikatakan membakar diri untuk mengambil motosikalnya, namun tiada kesan kebakaran kelihatan di situ,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak, di sini hari ini.
Azizah berkata, kejadian pada 30 November 2009 itu berlaku kira-kira 17 hari sebelum anak sulung daripada empat beradik itu melangsungkan perkahwinannya.
Katanya, dia mengetahui mengenai kejadian itu selepas dimaklumkan tunang Shairie Azizi yang memintanya datang segera ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
“Anak saya melecur kira-kira 20 peratus di perut sehingga ke bahu dan sedikit di bahagian belakang badannya. Bagaimanapun, Shairie Azizi meninggal dunia pada hari sama dia menjalani pembedahan plastik iaitu selepas tiga hari me­nerima rawatan di hospital.
“Walaupun kejadian itu sudah lama berlalu, namun sehingga kini saya masih ragu-ragu dan tertanya-tanya sama ada anak saya membakar dirinya sendiri atau tidak.
“Saya minta kepada mana-mana pihak yang melihat kejadian itu, tampil membantu siasatan. Mustahil tiada yang melihat kerana kejadian itu dikatakan berlaku berhampiran sebuah pasar raya,” katanya.