Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad berkata, permohonan melanjutkan reman tersebut telah dibenarkan oleh Mahkamah Majistret Jalan Duta bermula hari ini sehingga 28 September nanti.
Menurut beliau, seorang lagi suspek yang diburu polis dalam kes terbabit iaitu R. Dinishwaran, 23, juga telah ditahan selepas menyerah diri.
“Suspek tersebut telah menyerahkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada pukul 4.15 petang hari ini.
“Permohonan reman terhadap suspek itu akan dibuat esok,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Kehilangan Kevin ketika sedang memandu menuju ke pejabatnya di Putrajaya pada 4 September lalu terjawab selepas mayatnya ditemukan di dalam tong dram yang dipenuhi simen di dalam kawasan paya di Jalan Subang 3, Subang Jaya pada 16 September lalu.
Berdasarkan siasatan polis, mang­sa dipercayai dibunuh selepas dilarikan sekumpulan individu di Jalan Dutamas, Damansara di sini menuju ke utara sebelum mayatnya dibawa ke Subang Jaya dan diperlakukan dengan kejam apabila disumbat dalam guni sebelum dimasukkan ke dalam tong dram yang dicurahkan simen. Tong tersebut ditenggelamkan di dalam paya.
Mayat mangsa ditemukan sele­pas empat suspek termasuk seorang suspek utama yang merupakan seorang bekas doktor tentera berpangkat Kolonel ditahan.
Sementara itu, Zainuddin memberitahu, pemandu kereta Toyota Estima yang berhenti semasa kereta Kevin dilanggar kende­raan pacuan empat roda (4WD) Mitsubishi Triton di Jalan Dutamas masih belum tampil untuk membantu siasatan.