KETUA Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Bahagian Operasi JBPM Kelantan, Penguasa Bomba Nurizawan (kanan) bersama Ketua Unit MUST JBPM Kota Bharu, Abdul Manaf meneruskan operasi mencari dan menyelamat murid Orang Asli SK Tohoi di Gua Musang, Kelantan, semalam. mingguan/WAHIDIN SALIM
GUA MUSANG 5 Sept. – Empat helikopter milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat digunakan dalam operasi mencari tujuh murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi hari ini.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Saiful Bahari Abdullah berkata, helikopter terbabit digunakan bagi membantu operasi melalui tinjauan udara selepas pencarian jalan darat menemui jalan buntu.
“Helikopter yang terlibat adalah dua helikopter milik ATM dan masing-masing sebuah milik Jabatan Bomba dan Penyelamat dan PDRM.
“Kita akan mengenal pasti sekiranya mereka boleh dijumpai di sebalik bukit-bukau, pondok lama atau kebun yang berkemungkinan tempat mereka berada atau mendapatkan perlindungan,“ katanya ketika ditemui pemberita di pusat gerakan SK Tohoi di sini.
Tambah beliau, pencarian oleh anggota ATM diteruskan sehingga ke Pos Simpor yang memakan masa empat jam dari Pos Tohoi melalui jalan balak.
“Kami juga memerlukan kerjasama daripada Orang Asli bagi memudahkan skop pencarian. Setakat ini, hampir keseluruhan kawasan hutan sudah dibersihkan namun tidak berhasil.
“Pertambahan aset menyelamat ini diharapkan dapat menjejaki kesemua enam murid perempuan dan seorang lelaki yang hilang dalam hutan tebal berkenaan sejak dua minggu lalu,“ jelasnya.
Sementara itu, David Kuasan, 30, bapa kepada Juvina, 7, berharap anaknya masih lagi hidup di dalam hutan terbabit.
“Walaupun sudah masuk dua minggu, kami sekeluarga tidak akan putus asa dan berharap agar dia segera pulang.
“Bapa mana yang tidak sedih anak yang selama ini membesar depan mata hilang secara tiba-tiba. Kami sekeluarga hanya yakin Juvina sudah tiada selepas melihat jasadnya di depan mata,“ ujarnya.
No comments:
Post a Comment