Search This Blog

Sunday, September 6, 2015

Dua wanita maut nahas dekat Gua Sejuk

SABTU, 5 SEPTEMBER 2015 @ 9:47 PM

Oleh Ramli Ibrahim
bhkb@bh.com.my



GUA MUSANG: Dua wanita maut manakala tiga lagi cedera termasuk dua parah selepas dua kereta bertembung di Kilometer 21, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Gua Sejuk di sini, pagi tadi.

Dalam nahas jam 7.05 pagi itu, Siti Syuhada Abdul Aziz, 24, dari FELDA Chiku 2 mati di lokasi, manakala Hazimah Azman, 19, dari Ampang, Selangor, meninggal dunia di Hospital Gua Musang (HGM).

Mangsa yang cedera parah ialah pemandu Honda City, Mohamad Hizwan Rusli, 24, dari Sentul, Kuala Lumpur dan Halimah Yacob, 58, dari Ampang Selangor, manakala pemandu PROTON Persona, Muhammad Alif Abdul Aziz, 19, cedera ringan.


Nahas berlaku di laluan berselekoh ketika Hizwan dikatakan cuba memotong kenderaan di hadapannya, sebelum bertembung PROTON Pesona dipandu Muhammad Alif.  

Muhammad Alif berkata pertembungan itu menyebabkan kakak beliau, Siti Syuhada cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Dalam keadaan cedera akibat pertembungan, saya berusaha membantu kakak dan meminta bantuan orang ramai mengeluarkannya daripada remukan kereta sebelum disahkan meninggal dunia," katanya ketika ditemui di HGM.

Suami Siti Syuhada, Wan Mohd Zahari Wan Ibrahim, 30, berkata arwah isterinya yang bekerja sebagai pengasuh anak pekerja di kilang sawit Syarikat Liziz dekat Kuala Betis pernah menyuarakan hasrat untuk berhenti bekerja.

Beliau berkata, isterinya mungkin sudah tidak tahan untuk berulang alik ke kilang berkenaan setiap hari kerana perlu keluar dari rumah seawal jam 6.45 pagi.

"Saya juga bekerja di kilang sama, tetapi hari ini (semalam) masuk kerja jam 4 petang. Sayu hati terkenang nahas yang meragut nyawa isteri saya ini," katanya.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah, mengesahkan nahas itu dan siasatan lanjut mengenai puncanya sedang dijalankan. Jenazah mangsa yang terbunuh akibat nahas itu sudah dituntut keluarga masing-masing.

No comments:

Post a Comment