KLANG 27 Sept. – Dua pengawal keselamatan dimasukkan ke hospital setelah cedera ditembak sekumpulan lelaki dalam satu kejadian di Jalan Sungai Rasah di sini semalam.
NOR OMAR SAPPI
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, mangsa masing-masing berusia 30 tahun itu didatangi empat suspek bertopeng yang menaiki sebuah kereta Proton Waja dalam kejadian kira-kira pukul 10.15 pagi.
“Suspek berhenti di atas jalan dalam jarak kurang daripada lima meter sebelah kanan mangsa. Suspek penumpang hadapan telah melepaskan tembakan sebanyak empat hingga lima das ke arah kedua-dua mangsa lalu melarikan diri.
“Akibat tembakan tersebut, seorang mangsa cedera di tangan kiri dan kanan serta perut manakala rakannya cedera ringan di bahagian kaki,” katanya.
Beliau memberitahu, mangsa yang cedera ringan tersebut kemudian memandu kereta untuk membawa rakannya mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.
Tambah Nor Omar, kedua-dua mangsa itu kini dilaporkan stabil manakala hasil pemeriksaan di lokasi kejadian pihaknya telah menemukan dua kelongsong peluru jenis AP15 99MM Luger.
Katanya, polis telah mengambil keterangan daripada dua mangsa bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
No comments:
Post a Comment