Search This Blog

Monday, September 28, 2015

Dua pemandu terlibat kemalangan dicari


WARTAWAN SINAR HARIAN
Dua pemandu terlibat kemalangan dicari

27 SEPTEMBER 2015
Dua pemandu terlibat kemalangan dicari Orang ramai turut membantu mengalihkan kenderaan terlibat yang masuk ke bahagian kaki lima Hotel Panorama.

TAIPING – Polis sedang mengesan dua pemilik kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Kota berhadapan Hotel Panorama, di sini, Rabu lalu.

Kejadian kira-kira jam 9 pagi itu melibatkan kereta jenis Proton Savy dan Toyota Vios hingga menyebabkan salah satu kereta terbabas masuk ke bahagian kaki lima hotel.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, selepas insiden itu, kedua-dua pemandu berkenaan tidak berada di tempat kejadian.

“Ketika ini usaha mengesan kedua-dua pemandu terbabit sedang dilakukan dan dalam kejadian  itu, dipercayai kereta jenis Proton Savy telah memberikan isyarat untuk membelok ke kiri menuju ke Jalan Tupai.

“Bagaimanapun, semasa membelok, tiba-tiba sebuah lagi kereta jenis Toyota Vios yang datang dari arah belakang telah mencelah ke sebelah kiri lalu menyebabkan kedua-duanya bergesel.

“Akibat pergeselan itu, Toyota Vios itu hilang kawalan dan terbabas sehingga masuk ke bahagian kaki lima hotel, sementara sebuah lagi kereta terbabas sehingga masuk ke Jalan Tupai,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua pemandu masih belum membuat sebarang laporan polis berhubung kejadian tersebut.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

No comments:

Post a Comment