Search This Blog

Monday, September 21, 2015

Dua lelaki diburu bantu 
siasatan kes bunuh Kevin


21 September 2015 1:05 AM



KUALA LUMPUR 20 Sept. – Polis memburu dua lagi lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan kejam Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais.
Ketua Jabatan Siasatan Jena­yah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad berkata, kedua-dua individu itu dikehendaki polis bagi membantu siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.
Ujarnya, mereka yang diburu adalah M. Vishwanath, 25, dan R. Dinishwaran, 23.
“Alamat terakhir kedua-dua individu tersebut adalah Taman Desa Karangan, Sungai Karangan dan Batu Pekaka Estate, Kedah.
“Sesiapa yang mempunyai maklumat boleh menghubungi mana-mana Balai Polis atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes iaitu Asisten Superintenden Wan Abdullah di talian 012-348 2737 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, 03-4048 2222,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Zainuddin bagaimanapun enggan mengulas lanjut sama ada kedua-dua individu terbabit adalah suspek atau saksi kejadian.
Sebelum ini, polis telah menahan reman tujuh suspek termasuk seorang bekas doktor tentera berpangkat Kolonel.
Dalam perkembangan sama, Zainuddin memberitahu, pihaknya masih menunggu saksi kejadian pelanggaran iaitu pemandu dan penumpang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima untuk tampil bagi membantu me­nyalurkan maklumat penting kepada polis.
Ujarnya, kenderaan tersebut dilihat telah berhenti di laluan Jalan Dutamas di sini, selepas satu kemalangan yang dipercayai melibatkan Kevin dengan suspek berlaku kira-kira pukul 7.51 pagi, 4 September lalu.
Mayat Kevin, 55, ditemukan di dalam tong dram yang dipenuhi simen di dalam kawasan paya di Jalan Subang 3, Subang Jaya, pada 16 September lalu selepas empat suspek termasuk seorang bekas doktor tentera berpangkat Kolonel ditahan.
Beliau dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan menuju ke pejabatnya di Putrajaya pada 4 September lalu.
Hasil siasatan mendapati, mang­sa dipercayai dibunuh selepas dilarikan sekumpulan individu di Jalan Dutamas, Damansara di sini menuju ke utara sebelum mayatnya dibawa ke Subang Jaya dan disumbat dalam guni sebelum dimasukkan ke dalam tong dram yang dicurahkan simen.
Setakat ini, sebanyak tujuh suspek telah ditahan reman bagi membantu siasatan kes pembunuhan kejam itu.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/dua-lelaki-diburu-bantu-8232-siasatan-kes-bunuh-kevin-1.138557#sthash.j3fzzRZB.dpuf

No comments:

Post a Comment