Search This Blog

Sunday, September 6, 2015

Bot lebih muatan

Hutan Melintang: Bot pom-pom yang karam di perairan Sungai Bernam empat hari lalu dipercayai hanya mampu memuatkan 10 hingga 15 penumpang berbanding anggaran jumlah sebenar yang dibawa iaitu 70 hingga 80 penumpang.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, hasil temu bual dengan mangsa yang terselamat mendapati bot itu membawa antara 70 hingga 80 penumpang.
“Jumlah sebenar penumpang yang berada dalam bot itu tidak diketahui kerana jumlah diberitahu oleh mangsa yang terselamat berbeza-beza, namun anggaran dilakukan daripada siasatan awal itu ialah antara 70 hingga 80 penumpang.
“Jumlah penumpang dipercayai melebihi daripada apa yang dapat ditampung iaitu antara 10 hingga 15 penumpang,” katanya pada sidang media diadakan di Ladang Sungai Bernam, di sini, semalam.
Ketika ditanya mengenai pemilik bot berkenaan, Mohd Shuhaily berkata, perkara itu masih terlalu awal untuk dikenal pasti disebabkan pihaknya kini memberikan keutamaan kepada operasi mencari dan menyelamat mangsa.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati, sebilangan penumpang di dalam bot itu mempunyai dokumen perjalanan sah, namun dipercayai tinggal lebih masa dan cuba keluar dari negara ini secara haram.
Sementara itu, Shuhaily berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa bot karam yang memasuki hari ketiga semalam, turut diperluaskan kawasan pencarian hingga 25 batu nautika dari lokasi kejadian ke muara Sungai Bernam.
“Lima daripada 28 mayat iaitu empat wanita dan seorang lelaki sudah dikenal pasti identiti menerusi pengecaman dilakukan waris di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), manakala mayat seorang lagi lelaki yang dibawa ke Hospital Teluk Intan (HTI) dikenal pasti menerusi penemuan identiti,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2015 @ 5:12 AM

ANGGOTA penyelamat mengangkat mayat mangsa bot karam di Markas Utama Mencari dan Menyelamat (SAR) di UP Berhad Perhentian Feri Ladang Sungai Bernam.

No comments:

Post a Comment