Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, suspek berusia 26 tahun yang menyerah diri di Balai Polis Kuantan selepas kejadian mendakwa dia menjadikan motosikal jenis Yamaha 125Z milik abangnya sebagai ‘umpan’ untuk menangkap orang yang melarikan motosikalnya di lokasi sama minggu lalu.
Menurutnya, suspek mendakwa dia meninggalkan anak kunci di motosikal itu dan memerhati dari jauh sehingga menyangka mangsa, Tengku Shafiq Tengku Adam Azli, 21, adalah orang yang mencuri motosikal miliknya sebelum ini.
“Kita sedang melengkapkan siasatan berhubung kejadian ini dan suspek ditahan reman di Balai Polis Kuantan sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan.
“Pisau yang digunakan oleh suspek juga telah dirampas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, Tengku Shafiq yang bertugas sebagai bilal di Masjid Tepian Putra Kuantan di sini cedera parah akibat ditikam menggunakan pisau rambo dari belakang.
Mangsa yang berkunjung ke taman pesta ria tersebut menyimpan kunci yang ditinggalkan di motosikal berkenaan selepas mendapati pemiliknya tertinggal kunci di bahagian tempat duduk.
Tengku Shafiq juga dikatakan memuat naik status mengenai perkara tersebut di dalam grup Facebook sebelum dia dan beberapa rakan keluar pergi melihat motosikal tersebut.
Menurut Abdul Aziz, siasatan mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh.
Berikutan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar mengambil iktibar daripada kejadian berkenaan dengan tidak bertindak terburu-buru dan meminta bantuan daripada pihak berkuasa apabila mengesyaki wujudnya perbuatan jenayah.