Kejadian berlaku pada kira-kira pukul 6.30 petang semalam apabila penjaga pusat tersebut yang terletak di Alam Impian, Seksyen 35 di sini mendapati bayi terbabit secara tiba-tiba pengsan.
Dia kemudiannya membawa ba­­yi tersebut ke sebuah klinik berhampiran yang mana doktor me­lakukan bantuan pernafasan mulut ke mulut (CPR).
Melihatkan tiada sebarang perubahan, bayi berkenaan kemudian dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk rawatan lanjut tetapi di­sahkan telah meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Shafien Mamat dalam sidang akhbar di pejabatnya mengesahkan kejadian.
Menurutnya, siasatan awal polis mendapati tiada unsur jenayah berlaku termasuk kecuaian atau penderaan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
“Bagaimanapun, kami masih menunggu laporan analisis kimia jika terdapat unsur-unsur lain,” katanya di sini hari ini.
Beliau memberitahu, ketera­ngan daripada pengasuh sudah pun diambil oleh pihaknya.
Jelasnya, bapa mangsa ber­usia 45 tahun yang bekerja sebagai akauntan membuat laporan polis pada pukul 10.30 malam tadi.
“Dalam laporan itu, dia menyatakan mengetahui mengenai kejadian semasa mahu mengambil mangsa pada pukul 7 malam.
“Dalam laporan itu, dia menyebut yang isterinya berusia 30-an ada da­tang ke pusat jagaan kanak-kanak terbabit untuk memberi susu,” ujarnya.
Shafien menambah, ibu mang­sa sepatutnya mula bekerja hari ini selepas cuti bersalin.
Tambah beliau, mangsa merupakan anak bongsu daripada tiga beradik.