Search This Blog

Wednesday, September 23, 2015

Azad Jasmin kongsi detik cemas nahas di terowong Ipoh


PELAKON, Azad Jazmin menenangkan ahli keluarganya.
KUALA LUMPUR: Berkongsi detik cemas apabila kereta yang dipandunya berpusing lima kali petang Ahad lalu, pelakon Azad Jazmin menyangka hayat mereka sekeluarga sudah menemui titik noktah.
Azad atau nama sebenarnya Azad Jazmin John Louis Jeffri, 39, berkata kemalangan pada jam 5 petang yang turut bersama isteri, anak perempuan dan adik lelakinya itu berpunca daripada kesan minyak tumpah di luar terowong Ipoh.
"Kereta yang dipandu saya terbabas setelah berpusing sebanyak lima kali. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana kami sekeluarga tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun kereta saya hancur.
"Saya bersyukur kerana masih diberikan kesempatan oleh Allah untuk bernafas. Pelbagai perkara berlegar di benak fikiran dan saya menyangka kereta itu akan jatuh ke gaung.
"Saya sempat menoleh kepada adik lelaki saya di belakang sambil mengungkapkan kata-kata maaf kepadanya. Syukur juga isteri saya, Eira memegang erat anak perempuan kami di bahagian belakang dalam keadaan getir itu.
"Keadaan menjadi bertambah kalut apabila ada peminat terlihat kami terlibat dalam kemalangan dan ingin bergambar. Lantas menjadikan lebuh raya sesak seketika," katanya kepada BH Online.
Azad menambah, mereka sekeluarga dalam perjalanan untuk pulang ke Pulau Pinang selepas membawa ibunya ke Kuala Lumpur untuk menonton filem Girlfriend Kontrak lakonannya.
"Saya menganggap ada hikmah di sebalik kejadian yang berlaku ini. Niat kami untuk membawa ibu saya menonton filem lakonan saya terbantut kerana kemalangan itu dan kami berpatah balik ke Kuala Lumpur.
"Saya memohon maaf kepada pihak media tidak menjawab panggilan kerana masih berada dalam keadaan trauma. Eira begitu terkesan dengan kejadian itu dan kami memutuskan untuk mengambil sedikit masa sebelum memberi sebarang kenyataan.
"Seperti diberikan kesempatan untuk hidup buat kali kedua, saya terus pulang sujud syukur selepas kemalangan itu. Insya-Allah, saya dan Eira merancang untuk membuat doa selamat ketika Hari Raya Aidiladha nanti memandangkan ahli keluarga semua berada di sini," kata Azad.
Dalam perkembangan terbaharu, filem Girlfriend Kontrak yang menampilkan Azad selaku pelakon pembantu bakal menggegarkan pawagam bermula esok.
Filem itu turut membariskan pelakon hebat seperti Keith Foo, Bront Palarae, Fara Fauzana, Risteena Munim dan ramai lagi.

No comments:

Post a Comment