Perkara itu terbukti apabila Maj­lis Perbandaran Sepang (MPSepang) menyerbu 10 pusat perjudian di sekitar Dengkil, Selangor dalam satu operasi khas semalam.
Pusat perjudian tersebut dipercayai menyasarkan penjawat awam dan kontraktor sebagai pelanggan utama.
Yang Dipertua MPSepang, Puasa Md. Taib berkata, 45 penguat kuasa terlibat dalam serbuan itu dan sebanyak 815 set komputer judi siber bernilai RM489,000 dirampas.
Beliau berkata, ketika serbuan dianggarkan terdapat kira-kira 100 pelanggan terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk penjawat awam sedang leka berjudi di 10 premis terbabit, namun mereka tidak ditahan kerana bukan di bawah bidang kuasa MPSepang.
Menurutnya, kesemua 10 pusat judi yang diserbu itu beroperasi di tingkat atas bangunan bagi mengelak daripada dikesan oleh pihak berkuasa yang sering melakukan rondaan di kawasan tersebut.
“Operasi yang dijalankan itu bermula pada pukul 11 pagi dan dike­tuai oleh Pengarah Operasi, Azran Musa. Semasa serbuan didapati kesemua premis dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan pergerakan pihak berkuasa selain turut dikawal oleh tonto.
“Pengusaha pusat perjudian juga dikesan menggunakan wanita warga asing yang berpakaian mencolok mata bagi menarik perhatian pe­langgan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Puasa memberitahu, kesemua premis telah disita dan kes disiasat di bawah Akta Undang-undang Kecil Pusat Siber dan Kafe Siber (MPSepang) 2007.
“Premis yang diserbu juga didapati menjalankan aktiviti perjudian terbuka yang melibatkan pertaruhan sehingga RM50,000 untuk satu sesi.
“Semasa serbuan, kesemua premis didapati telah menyediakan lori untuk melarikan komputer sekiranya serbuan dilakukan oleh pihak berkuasa,” katanya.
Dalam pada itu katanya, laporan berhubung operasi tersebut telah dihantar ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut.