Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, penjenayah tersebut yang bersenjatakan senapang jenis pump gun dan memakai topeng ski meletakkan kereta Proton Wira warna putih di hadapan kedai emas tersebut sebelum meluru masuk ke dalam premis.
Difahamkan tiada pelanggan di dalam premis dan hanya dua anak kepada pemilik kedai emas masing-masing berusia 28 dan 31 tahun berada di kaunter pameran ketika kejadian.
Pemilik kedai emas itu yang mahu dikenali sebagai Tan, 60, berkata, dia berada di bahagian belakang premis sebelum mendengar bunyi kaca pecah dan ada suara kuat lelaki seperti sedang memberi amaran.
“Saya ternampak seorang lelaki memegang senapang manakala seorang lagi mengisi barangan kemas ke dalam sebuah beg selepas memecahkan cermin kaunter dengan tukul besi.
“Saya dan dua anak kemudiannya berlari ke bahagian belakang premis dan terus menekan penggera kecemasan sebelum dua penjenayah itu bergegas keluar,“ katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Menurut Tan , tidak lama kemudian dia terdengar bunyi tembakan dilepaskan dipercayai oleh salah seorang penjenayah ke udara di luar premis bagi memberi amaran kepada orang ramai.
“Saya bersyukur kerana anak-anak dan saya tidak dicederakan walaupun kerugian ratusan ribu ringgit,“ jelasnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Abd. Rahim Abdullah memberitahu, pihaknya kini giat memburu kedua-dua suspek yang melarikan diri ke arah Kodiang menggunakan kereta dengan nombor pendaftaran palsu.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,“ tambahnya.