Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, empat lagi mayat yang ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat antara kira-kira pukul 2 hingga 5 petang tadi itu adalah lelaki.
Katanya, empat mayat pertama ditemukan di kawasan antara tiga hingga lima batu nautika dari lokasi kejadian manakala kanak-kanak tersebut pula ditemukan oleh kapal Kapal Diraja (KD) Laksamana Hang Nadim milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kira-kira 15 nautika dari pantai.
“Lokasi mayat kanak-kanak itu ditemui jelas menunjukkan kepada kita bahawa mayat-mayat dihanyut­kan agak jauh akibat arus deras.
“Jadi kita terpaksa memperluaskan kawasan operasi itu tersebut kepada 1,000 kilometer persegi untuk aset-aset di laut manakala 2,000 kilometer persegi pula bagi pesawat udara,’’ katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah Klang, Mohd. Aliyas Hamdan.
Menurut Mohd. Shuhaily, penemuan pada hari ketiga operasi itu tersebut menjadikan mangsa terkorban sehingga kini meningkat kepada 29 orang terdiri daripada 20 wanita termasuk kanak-kanak itu sembilan orang lelaki manakala yang selamat pula kekal sebanyak 20 orang terdiri daripada 19 lelaki dan seorang wanita.
Menjelaskan penemuan tersebut, beliau berkata, mayat pertama dan kedua dijumpai oleh kapal milik Maritim Malaysia pada kira-kira pukul 2 petang di kawasan muara Sungai Bernam dekat sini.
“Dalam perjalanan pulang, Kapal Maritim (KM) Danga turut memaklumkan mereka telah menemukan satu lagi mayat menjadikan semuanya, tiga orang.
“Pada masa sama, KD Laksamana Hang Nadim yang berada agak jauh dari laut juga memaklumkan mereka telah menemukan seorang mangsa dipercayai kanak kanak.