Search This Blog

Wednesday, September 23, 2015

20 rumah rosak akibat ribut


WARTAWAN SINAR HARIAN
20 rumah rosak akibat ribut
Man (kiri) menunjukkan keadaan dinding dan bumbung rumahnya yang diterbangkan angin.
23 SEPTEMBER 2015
ALOR SETAR – Sebanyak 20 rumah di Kampung Lahar Budi, Kampung Alor Belat dan Kampung Tok Keling, di sini, rosak teruk akibat dilanda ribut pada Ahad lalu.

Kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu menyebabkan rumah penduduk mengalami kerosakan pada bahagian bumbung dan dinding.

Ribut yang berlaku kurang 20 minit itu diiringi hujan lebat, bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kemalangan jiwa.

Mangsa, Man Ismail, 83, berkata, ketika kejadian dia bersama isteri, Sabariah Kassim, 78, dan seorang anak sedang berehat di ruang dapur.

Menurutnya, mereka dikejutkan dengan bunyi seakan bertiup kencang di luar rumah sebelum mendapati bumbung dan dinding rumah di tingkat atas diterbangkan angin.

“Perasaan tidak dapat digambarkan sebab ini kejadian pertama berlaku setelah lebih 50 tahun menetap di sini.

“Saya lihat bumbung dan dinding rumah diterbangkan angin sebelum ia jatuh di hadapan rumah,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagi Tijah Saud, 77, ketika kejadian dia sedang berehat seorang diri di hadapan rumah sebelum dikejutkan dengan bunyi yang amat kuat.

“Ketika itu hujan lebat dan angin kuat, kemudian saya terdengar bunyi dentuman kuat di belakang rumah.

“Tiba-tiba saya terlihat angin menerbangkan bumbung rumah sebelum ia terdampar di kawasan bendang berhampiran,” katanya.

Bertindak atas maklumat orang awam, Adun Alor Mengkudu, Ahmad Yahya segera turun padang melawat semua mangsa terlibat.

Ahmad berkata, kejadian ribut itu merupakan kali keenam berlaku dalam tahun ini dan berada pada tahap sederhana.

“Walaupun banyak rumah yang terlibat, tetapi ia tidak seburuk yang pernah berlaku pada awal tahun yang melibatkan 90 rumah mengalami kerosakan.

“Bagaimanapun, saya harap semua penduduk dapat bersabar dengan ujian dan musibah yang tidak diduga ini,” katanya.

Pada lawatan itu, Ahmad turut menyampaikan bantuan daripada Pusat Khidmat Dun Alor Mengkudu kepada semua mangsa terlibat.

“Saya harap sumbangan ini serba sedikit dapat membantu meringankan beban semua mangsa terlibat.

“Pada masa sama, saya juga menggesa pihak kerajaan negeri dan agensi berkaitan supaya memberi perhatian segera dalam masalah ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment