Kejadian yang dipercayai berlaku semasa cuaca buruk kira-kira 3.30 pagi itu menyebabkan 15 daripada mereka iaitu 13 wanita dan dua lelaki terkorban manakala dianggarkan 36 orang lagi masih hilang.
Seramai 19 mangsa lagi yang terdiri daripada 18 lelaki dan seorang wanita berjaya diselamatkan bot nelayan yang kebetulan berada berhampiran tempat kejadian kira-kira pukul 5 pagi.
Difahamkan, kesemua mangsa berlepas menaiki bot pancung bersaiz 12 meter itu dari Kuala Sungai Bernam kira-kira pukul 12 tengah malam tadi menuju ke Tanjung Balai, Indonesia.
Ketua Penguat Kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Daerah Klang, Ketua Laksamana Pertama Maritim, Mohd. Aliyas Hamdan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian daripada nelayan tempatan yang menyelamatkan kumpulan PATI itu pada pukul 10.37 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada cuaca buruk dan bot pancung tersebut yang membawa lebih muatan.
Katanya, bot yang membawa kesemua PATI itu juga dipercayai tidak berdaftar.
“Kesemua mayat telah dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat,” katanya dalam sidang akhbar di sini petang ini.
Mohd. Aliyas berkata, pihaknya juga sedang menyiasat jumlah sebenar penumpang yang menaiki bot itu dan masa sebenar bot tersebut berlepas daripada sempadan perairan Selangor-Perak menuju ke Tanjung Balai, Indonesia.
Tambahnya, kira-kira 200 anggota termasuk Maritim Malaysia, bomba dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah menjalankan tugas-tugas mencari dan menyelamat serta sebuah pusat pos pangkalan telah dibuka di Jeti Sungai Sumun, Hutan Melintang, Perak.
Katanya, 12 aset milik Maritim Malaysia dan TLDM meliputi helikopter, kapal dan beberapa bot turut digunakan dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa bot karam ini.
“Malah, kedutaan Indonesia dan Timbalan Duta Besar Indonesia di Malaysia, Hermono telah dimaklumkan dan memberi bantuan dalam meneruskan pencarian saki baki mangsa yang terlibat dalam insiden ini.
“Kerja mencari dan menyelamat akan diteruskan dan segala maklumat pencarian akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Sementara itu, di Bagan Datoh, Perak, mangsa yang terselamat dalam tragedi bot pancung karam pagi ini terpaksa berpaut pada botol dan serpihan papan lebih enam jam sebelum berjaya ditemukan.
Ketua Penguat Kuasa Maritim 3 Lumut, Kapten Maritim Zulinda Ramli berkata, perkara itu diceritakan oleh 19 mangsa yang berjaya diselamatkan sebaik sahaja mereka tiba ke Jeti Hutan Melintang di sini.
Menurut beliau, kesemua mangsa yang mahu pulang ke Padang, Acheh, Surabaya dan Medan itu juga masih trauma dengan kejadian yang menimpa mereka.
“Semasa ditemu bual, mereka masih lemah akibat terminum air laut malah ada yang tidak mampu berkata-kata dan asyik termenung.
“Mereka memberitahu telah membayar RM700 kepada tekong bot yang membawa mereka pulang ke kampung,” katanya yang merupakan orang terawal menemubual mangsa yang terselamat dalam tragedi tersebut.
Mangsa yang terselamat itu yang terdiri daripada 18 lelaki kini di tempat di Balai Polis Hutan Melintang sebelum diserahkan kepada Maritim Malaysia.
Manakala seorang wanita berusia 30-an sedang dirawat di Hospital Teluk Intan.