Search This Blog

Wednesday, September 23, 2015

12 gelandangan dipercayai dikurung diselamatkan

SELASA, 22 SEPTEMBER 2015 @ 10:06 PM

  Semua 12 individu berusia antara 35 dan 75 tahun itu diselamatkan selepas serbuan dilakukan JKM Kubang Pasu ke atas premis terbabit yang turut diarahkan tutup serta-merta.
JABATAN Kebajikan Masyarakat Daerah Kubang Pasu berjaya menyelamatkan gelandangan yang dipercayai dikurung di sebuah rumah perlindungan haram di Jitra. - Foto Syahid Sokri
  Pegawai Kebajikan Masyarakat Kubang Pasu, Mohd Fadhuli Wahab, berkata serbuan dilakukan kira-kira jam 10 pagi tadi, adalah hasil kepada pemantauan dan siasatan dilakukan pihaknya selepas menerima aduan daripada penduduk di taman perumahan terbabit yang curiga dengan operasi rumah perlindungan itu.
  "Kita sedang menyiasat apa motif warga emas dan OKU terbabit dikurung di rumah perlindungan berkenaan, namun hasil maklumat diterima setakat ini mengatakan kemungkinan mereka dimanipulasi pihak tertentu untuk kepentingan peribadi termasuk mungkin untuk tujuan kutipan derma amal.
  "Buat masa sekarang, kita sudah arahkan rumah perlindungan yang diusahakan dua lelaki itu ditutup dan semua 12 warga emas dan OKU yang berada di dalamnya dihantar ke Rumah Sri Kenangan di Bedong, dekat sini, buat sementara waktu," katanya ketika ditemui, di sini.
  Terdahulu, beliau mengetuai sekumpulan 15 pegawai JKM Daerah Kubang Pasu melakukan serbuan dan pemeriksaan ke atas rumah teres setingkat terbabit yang dijadikan sebagai rumah perlindungan warga emas dan OKU itu.
  Berdasarkan maklumat, penduduk setempat sebelum ini curiga dengan operasi rumah perlindungan berkenaan kerana jeriji besi pada pintu premis sentiasa ditutup dan dikunci menggunakan mangga dan rantai besi, sekali gus bimbang kemungkinan warga emas dan OKU yang berada di dalamnya dikurung.
  Mohd Fadhuli ketika diminta mengulas perkara itu, mengakui pemeriksaan dilakukan pihaknya mendapati penghuni rumah perlindungan itu sentiasa dikurung dan warga emas serta OKU yang tinggal di situ diberikan kemudahan yang tidak mencukupi, malah status keadaan rumah juga terlalu padat untuk didiami. 
   "Sewaktu operasi dijalankan juga kami dapati terdapat berhala di dalam rumah berkenaan walaupun sembilan daripada penghuninya adalah muslim," katanya yang mengesahkan kes disiasat mengikut Akta Pusat Jagaan 1993.

No comments:

Post a Comment