Menurut portal arabnews.com yang memetik akhbar harian, Al-Madinah berkata, jumlah jemaah yang terkorban dalam nahas itu ialah 109 orang, dengan 92 mayat telah dikenal pasti dan 89 mayat lagi dibenarkan untuk urusan pengebumian.
Tiga mayat belum diserahkan, manakala lapan lagi mayat berada dalam keadaan tidak sempurna dan sukar dikenal pasti.
Jemaah dari India merupakan yang paling ramai terkorban iaitu 13 orang, diikuti jemaah dari Pakistan seramai 12 orang, katanya.
Menurut akhbar tersebut, daripada 92 mayat yang dikenal pasti 24 adalah jemaah wanita dan 68 lagi adalah jemaah lelaki.
Sementara itu, jurucakap Pertahanan Awam Mekah, Briged Abdullah Al-Harthi kelmarin mengumumkan pasukannya menemukan dua lagi mayat di bawah runtuhan selepas membuka sebahagian daripada kren yang tumbang untuk dibawa keluar dari kawasan Masjidilharam.
“Dua mayat itu adalah rakyat Malaysia menjadikan jumlah keseluruhan jemaah yang terkorban ialah 109 orang,” ujarnya.
Beliau berkata, pihaknya berdepan cabaran untuk mengenal pasti sebahagian daripada mayat kerana mayat mereka berada dalam keadaan tidak sempurna.
“Kami menggunakan cap jari untuk mengenal pasti mayat mangsa,” katanya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan lebih banyak mayat berada di bawah runtuhan yang diakibatkan oleh kren tumbang itu.