YAN – Seorang warga emas nyaris maut selepas kereta yang dipandunya berlanggar dengan sebuah lori dekat Padang Lumat, di sini, semalam. 

Kejadian kira-kira jam 3 petang itu mengakibatkan mangsa yang berusia lingkungan 60-an mengalami kecederaan parah. 

Mangsa yang tersepit di bahagian pemandu berjaya diselamatkan dan dikeluarkan oleh orang ramai yang menyaksikan kejadian. 

Menurut seorang saksi, kejadian itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Guar Chempedak menghala ke Pusat Bandar Alor Setar. 

“Semasa kejadian, lori itu tiba-tiba mengundur keluar dari sebuah kilang papan berdekatan dengan laju. 

“Mujur saya sempat menekan brek tetapi kereta yang dipandu mangsa gagal elak dan melanggar belakang lori tersebut,” katanya. 

Mangsa dibawa ke Hospital Yan menggunakan ambulans Jabatan Pertahanan Awam (Jpam) untuk rawatan lanjut.