Roslan Abd. Wahid
Langkah itu perlu memandang­kan kegiatan penipuan tersebut berada pada tahap membimbangkan dan telah ramai yang menjadi mang­sa termasuk warga tempatan dan luar negara.
Timbalan Pengarah Risikan Operasi JSJK, Senior Asisten Komisio­ner Roslan Abd. Wahid berkata, selain tindakan tegas, suspek-suspek yang disyaki perlu dipantau secara berterusan supaya mereka ini tidak berpeluang mengulangi jenayah sama di negara ini.
“Ramai warga Afrika yang ditangkap sukar didakwa ekoran kekurangan bukti selain mang­sa tidak mengenali langsung suspek. Ini berlaku apabila sindiket menyamar sebagai individu yang tidak ‘wujud’.
“Oleh demikian, kita mahu pihak imigresen membatalkan visa serta menghantar pulang mereka yang disyaki terjebak dalam kegiatan ini dan maklumat mengenai mereka didokumentasi serta diletakkan dalam senarai con wanted supaya tidak lagi bolos masuk ke negara ini,” ujarnya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Difahamkan, suspek yang ditangkap kerana terlibat dalam pe­ni­puan ini biasa­nya akan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat serta denda.
Mengulas lanjut Roslan turut me­nyatakan, kes peni­puan yang didalangi warga Afrika ini tidak akan berakhir jika masyarakat tidak sedar dan terus membuka peluang untuk diperdaya,
Ujar beliau, pihaknya tidak boleh menghalang perhubungan yang dijalin di mana-mana laman sosial seperti Facebook tetapi setiap individu harus mempunyai kesedaran dan berhati-hati dengan orang yang tidak kenali.
“Sekurang-kurangnya bertemu­lah dengan individu itu terlebih dahulu sebelum mahu mengikut se­gala kehendak mereka dan ja­ng­an sesekali beri akaun bank anda kepada orang yang bermulut manis tetapi belum dikenali sepenuhnya.
“Jika terjebak, mangsa sendiri harus membantu pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat. Jangan sesekali menyangkal bahawa anda telah ditipu dan masih meneruskan hubungan tersebut,” ujarnya.