Search This Blog

Tuesday, August 25, 2015

Terpaksa pantau ular sawa


WARTAWAN SINAR HARIAN
25 OGOS 2015Terpaksa pantau ular sawa
Terpaksa pantau ular sawa Penguatkuasa MDGM menunjukkan ular sawa yang ditangkap.

GUA MUSANG - Seekor ular sawa daripada spesies Python reticulatus atau ular sawa batik berjaya ditangkap di kediaman seorang kakitangan Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) di Perumahan Penggawa Kampung Pulai, dekat sini, awal pagi semalam.

Reptilia sepanjang 2.56 meter berkenaan ditangkap ketika cuba memasuki reban angsa peliharaan Afandi Mohd Nor, 31, oleh lima anggota Unit Penguatkuasaan MDGM diketuai Penolong Penguat kuasa, Kamarudin Idris.

Afandi ketika ditemui berkata, kejadian berlaku pada kira-kira jam 7.30 pagi yang mana dia terdengar bunyi bising dari reban angsa peliharaannya dan bergegas untuk melihat keadaan di situ.

"Sebaik sahaja menjenguk reban angsa, saya ternampak seekor ular sawa cuba membelit angsa peliharaan saya dan terus menghubungi Unit Penguatkuasaan MDGM.

"Saya bimbang ular itu akan menyusup masuk ke dalam rumah dan terpaksa memantau pergerakannya selama beberapa minit," katanya.

Menurutnya, apabila anggota Unit Penguatkuasaan MDGM tiba di lokasi kejadian, dia turut sama membantu untuk menangkap reptilia berkenaan dan usaha tersebut mengambil masa 20 minit.

Sementara itu, Kamarudin memberitahu, ini merupakan kali pertama unit berkenaan mengambil langkah berani untuk menangkap ular sawa walaupun sedar risiko yang dihadapi.

Katanya, mereka menggunakan kaedah penangkapan menggunakan jerat dan apabila ular sawa berkenaan berjaya dimasukkan ke dalam guni, ia diserahkan kepada pihak berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

"Nasib baik kakitangan kita (Afandi) bertindak cepat melaporkan kejadian kepada Unit Penguatkuasaan MDGM. Jika tidak mungkin angsa peliharaannya menjadi mangsa ular sawa itu," katanya.

No comments:

Post a Comment