Bagaimanapun, nasib lelaki yang mempunyai enam rekod lampau itu ternyata kurang baik apabila dia akhirnya mati lemas dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu.
Sebelum terjun, suspek yang berusia 37 tahun bersama seorang lagi lelaki telah melarikan sebuah lori yang diletakkan di kawasan berhampiran Pasar Borong Selayang.
Bagaimanapun, lori tersebut dipasang Sistem Pengesanan Global (GPS) dan apabila disemak pemilik, kenderaan itu dikesan dalam keadaan bergerak dan telah melepasi Plaza Tol Bukit Beruntung.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden R. Supramaniam berkata, seorang pengadu yang menyemak GPS itu kemudiannya menghubungi polis untuk meminta bantuan dan sepasukan polis dikerahkan ke satu lokasi untuk mengesan suspek dan kenderaan tersebut.
“Apabila sampai, polis mendapat terdapat dua suspek berada di tepi jalan dan apabila melihat polis, salah seorang suspek terus melarikan diri ke arah lombong.
“Dia kemudiannya terjun ke dalam lombong terbabit manakala seorang lagi suspek yang mempunyai tiga rekod lampau termasuk kes samun dan dadah telah ditahan,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut Supramaniam memberitahu, suspek yang terjun ke dalam lombong berkenaan dipercayai lemas dan memaksa polis mendapatkan bantuan daripada pihak bomba.
“Bantuan bomba dari Balai Kuala Kubu Baru telah diminta dan pada kira-kira pukul 8 pagi, mayat lelaki berjaya dibawa naik. Si mati berusia 37 tahun, berasal dari Kapar, Klang dan mempunyai enam rekod lampau,” katanya.