ROSLAN ABD. WAHID menerangkan mengenai fasa penipuan yang dijalankan sindiket African Scam.
KUALA LUMPUR 23 Ogos – Sindiket Love Scam tidak akan wujud dan beroperasi tanpa sebarang bantuan daripada rakyat tempatan.
Timbalan Pengarah Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Senior Asisten Komisioner Roslan Abd. Wahid berkata, warga tempatan terutama sekali wanita dilihat memainkan peranan penting dalam sindiket tersebut kerana mereka akan membantu melancarkan penipuan itu.
Menurutnya, ini kerana sindiket yang didalangi warga Afrika memerlukan wanita tempatan untuk menambah keyakinan mangsa.
“Apabila sindiket mahu meyakinkan mangsa untuk memberikan wang, mereka akan mengarahkan wanita-wanita tempatan ini untuk menghubungi mangsa dan menyamar sama ada sebagai penguat kuasa kastam atau imigresen.
“Apabila mangsa mendengar suara rakyat tempatan yang menghubungi mereka, keyakinan mangsa akan bertambah dan tidak mustahil akan terus memasukkan duit ke dalam akaun yang disediakan sindiket,” katanya.
Roslan memberitahu, wanita-wanita berkenaan biasanya diupah oleh warga Afrika tersebut atau merupakan teman wanita kepada suspek.
Ujar beliau, terdapat beberapa cara warga Afrika akan memanipulasi wanita tempatan antaranya seperti menyamar sebagai penguat kuasa tempatan.
“Cara lain, mereka dibayar untuk membuka akaun bank kemudiannya menyerahkan kad mesin tunai automatik (ATM) kepada sindiket. Setiap transaksi yang berlaku, biasanya akan menerima bayaran tertentu,” katanya.
Roslan juga mengingatkan wanita-wanita tempatan supaya tidak terjebak dengan ‘permainan’ warga Afrika ini kerana mereka sangat licik sehingga sukar untuk didakwa.
“Kebanyakan kes, warga Afrika ini sukar untuk didakwa apabila mangsa tidak mengenali suspek sebenar kecuali polis menemukan bukti-bukti tertentu contohnya komunikasi antara mangsa dan sindiket sepanjang penipuan itu berlaku.
“Dalam hal lain, polis akan menyiasat pemilik akaun bank tersebut dan wanita yang menyamar sebagai penguat kuasa. Mereka ini akan didakwa kerana bersubahat,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment