AFP - GAMBAR fail pada 20 Julai 2014 memaparkan serpihan pesawat MH17 di kampung Grabovo, dalam wilayah Donetsk, Ukraine.
THE HAGUE, Belanda – Pasukan penyiasat nahas Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 kelmarin mendedahkan penemuan beberapa serpihan yang dipercayai daripada sebutir peluru berpandu BUK buatan Rusia di lokasi pesawat itu terhempas di timur Ukraine.
“Penyiasat Belanda dan antarabangsa sedang memeriksa tujuh ‘serpihan penting yang agak besar, dipercayai peluru berpandu darat ke udara BUK.
“Masih terlalu awal untuk mengesahkan serpihan itu berasal daripada peluru berpandu BUK yang digunakan untuk menembak jatuh MH17,” kata Pendakwa Raya Belanda, Fred Westerbeke.
Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa siasatan antarabangsa kini ‘semakin hampir’ untuk mengenalpasti pihak yang bertanggungjawab ke atas serangan tersebut.
Satu kenyataan bersama daripada kumpulan pendakwa raya dan Lembaga Keselamatan Belanda (OVV) memberitahu, semua serpihan itu ditemui semasa misi mencari sebelum ini di lokasi nahas di timur Ukraine.
“Serpihan-serpihan itu berada dalam simpanan pasukan siasatan jenayah dan OVV,” jelasnya.
MH17 ditembak jatuh pada 17 Julai tahun lalu ketika tentera kerajaan Ukraine dan kumpulan pemisah pro-Rusia masih sengit bertempur. Kesemua 298 penumpang dan anak kapal pesawat dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu terbunuh dalam tragedi tersebut.
Ukraine dan Barat menuduh pemberontak pro-Rusia bertanggungjawab menembak jatuh pesawat tersebut menggunakan sebuah peluru berpandu BUK dibekalkan Rusia. Moscow dan kumpulan pemberontak pula sebaliknya menuding jari kepada Ukraine.
Rusia pada bulan lalu menggunakan kuasa veto untuk menggagalkan usaha Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu membentuk sebuah tribunal antarabangsa bagi membicarakan pihak yang bertanggungjawab menembak MH17. – AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0813&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3ijpVlLwL
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment