Search This Blog

Monday, August 3, 2015

Serpihan baharu di Pulau Reunion


ANGGOTA polis mengiringi sebuah kenderaan membawa serpihan pesawat Boeing 777 yang ditemui di Pulau Reunion di Lapangan Terbang Roland Garros, Perancis pada Jumaat lalu. - AFP


PULAU REUNION, Perancis – Satu serpihan baharu ditemui terdampar di sebuah pantai di sini semalam, dipercayai sebuah pintu milik pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370.
Objek terbaharu itu merupakan kepingan logam dengan simbol tulisan Cina ditemui seorang pejalan kaki di Saint Denis, 25 kilometer dari tempat serpihan pertama ditemui di Saint Andre Rabu lalu.
Pihak berkuasa Pulau Reunion di Lautan Hindi segera memagar kawasan tersebut sebelum objek berkenaan dihantar untuk analisis. Objek pertama ditemui sebelum ini merupakan serpihan sayap sepanjang dua meter dikenali sebagai flaperon.
Flaperon itu kini diperiksa di Toulouse, Perancis bagi memastikan sama ada objek berkenaan sebahagian daripada pesawat Boeing 777 tersebut yang hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal pada Mac tahun lalu. MAS semalam mengesahkan flaperon itu datang daripada sebuah pesawat jenis sama.
“Kami tahu flaperon itu berasal daripada pesawat Boeing 777. Perkara ini telah disahkan pihak berkuasa di Perancis bersama syarikat Boeing, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat dan satu pasukan dari Malaysia.
“Pasukan kami terdiri daripada anggota Jabatan Penerbangan Awam (DCA), MAS dan pasukan 13 anggota penyiasat bersekutu Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk MH370,” kata Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Liow turut memohon bantuan daripada pihak berkuasa penerbangan di sekitar kawasan pulau Reunion bagi membolehkan kumpulan pakar menjalankan pemeriksaan rapi sekiranya terdapat serpihan lain terdampar di pantai dan dapat memberi lebih banyak petunjuk bagi mencari pesawat tersebut.
Dalam perkembangan terkini, Ketua Pengarah DCA, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman memaklumkan penemuan baharu itu bukannya sebuah pintu seperti didakwa beberapa media antarabangsa sebaliknya cuma sebuah tangga biasa.
“Saya yang mengetuai siasatan di Perancis untuk analisis flaperon yang ditemui. Saya sudah periksa dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam dan anggota siasatan di pulau Reunion, apa yang ditemui itu cuma tangga biasa,” katanya.
Sebelum penemuan flaperon itu Rabu lalu, usaha mencari MH370 telah menemui jalan buntu walaupun dengan penglibatan besar-besaran pesawat dan kapal laut dari 20 negara yang mencari di Lautan Hindi. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0803&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3hl6gXuPH 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment