Dua suspek itu cuba memecahkan sebuah ATM yang dipasang pada premis Easy milik RHB bank kira-kira pukul 4.43 pagi.
Mereka juga dikesan menggunakan modus operandi sama iaitu menarik ATM itu menggunakan kabel yang dipasang pada sebuah kereta pacuan empat roda berwarna pe­rak, selain memakai topi keledar berpenutup muka dan topeng.
Seorang kakitangan Easy yang enggan dikenali memberitahu, ke­dua-dua suspek berbadan gempal itu masuk ke dalam premis yang menempatkan tiga buah ATM kira-kira pukul 4.43 pagi sebelum mencangkukkan kabel pada sebuah mesin di situ.
“Kabel itu dipasang pada kenderaan pacuan empat roda yang diletakkan menyerong di hadapan kedai. Kenderaan itu kemudian menarik mesin ATM ke luar tetapi tersangkut kepada sebuah van sekolah.
“Mereka cuba untuk memecahkan mesin terbabit meskipun penggera keselamatan berbunyi. Bagaimanapun kira-kira dua minit kemudian mereka melarikan diri apabila perasaan kehadiran ken­deraan polis peronda yang menghala ke situ,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Ditanya tentang jumlah kerugian akibat kejadian itu, katanya, tiada wang dalam mesin terbabit sempat dilarikan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairuddin Saad berkata, rakaman kamera litar tertutup mendapati salah seorang suspek memasuki premis dengan meme­gang besi kuku kambing manakala seorang lagi memegang tukul besi.
“Mereka cuba memecahkan mesin itu dengan peralatan terbabit tetapi tidak berjaya. Kemudian mereka dilihat menyangkut wayar kabel dan menarik menggunakan sebuah kenderaan bagi mencabut pintu mesin itu namun tidak berjaya kerana keseluruhan mesin itu turut tertarik keluar.
“Ketika itu anggota peronda datang ke lokasi kejadian menyebabkan suspek melarikan diri tanpa sempat mengambil apa-apa,” ujarnya.
Khairuddin berkata, siasatan awal polis percaya kejadian terbabit melibatkan individu sama yang cuba memecah mesin ATM di Petaling Jaya semalam berdasarkan rakaman CCTV.
Dalam satu kejadian samun ATM di Jalan PJS 8/17 Dataran Mentari, semalam dua lelaki bertubuh gempal gagal mencecahkan mesin ATM untuk mendapatkan sejumlah wang.