Search This Blog

Tuesday, August 25, 2015

Remaja maut motosikal rempuh lembu


WARTAWAN SINAR HARIAN
24 OGOS 2015Remaja maut motosikal rempuh lembu
Remaja maut motosikal rempuh lembu Rakan mangsa sempat melihat mayat Mohamad Zaki yang maut di tempat kejadian dalam kemalangan itu

SABAK BERNAM – “Saya di sini wakil ‘4valve’ menyeru anak-anak cepat pulang ke tanahair. Di sini saya asyik meranjau (keseorangan) saja. Meh-meh (mari) pulang. Tolong saya di sini.”

Demikian antara pesanan terakhir, Mohamad Zaki Zulkifli, 19, pada status terakhir aplikasi WeChat yang dikemas kini pada jam 7.46 malam kelmarin.

Mohamad Zaki meninggal dunia apabila motosikal jenis Yamaha LC yang ditungganginya itu merempuh seekor lembu di Kilometer 39 Jalan Teluk Intan-Klang iaitu kira-kira empat jam selepas arwah menghantar pesanan terbabit.

Rakan mangsa, Muhammad Syazwan Hassan, 19, berkata, dia menyedari penuntut semester satu Diploma Pengurusan Teknologi Kolej Teknologi Timur itu mengemas kini status aplikasi WeChat, tetapi status itu dipadam selepas arwah dilaporkan meninggal dunia.

“Saya ada baca status WeChat arwah malam semalam (kelmarin). Hari ni status tu dah padam. Saya hampir menitiskan air mata baca status tu kerana masih berat nak terima pemergiannya,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam kejadian kira-kira awal jam 12 tengah malam itu, Mohamad Zaki dari rumahnya di Jalan Taman, Sabak Bernam dalam perjalanan menuju ke sebuah kedai makan di Tebuk Pulai, Sabak melanggar lembu yang tiba-tiba melintas.

Akibat kejadian itu, mangsa tercampak ke hadapan, manakala motosikal yang ditungganginya berada di lorong kanan jalan.

Bagaimanapun, mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian bernasib baik apabila tidak dirempuh sebuah kereta jenis Honda Accord yang berada di laluan sama selepas pemandu kereta itu ternampak lembu itu mengelak ke kanan jalan sebelum melanggar motosikal mangsa.

Adik kembar arwah, Mohamad Zaid Zulkifli, 19, berkata, kali terakhir dia terdengar suara arwah abangnya itu menyebut ‘ALLAH’ ketika Mohamad Zaki tidur di dalam bilik, kira-kira jam 8 malam sebelum kejadian.

“Sebaik saya masuk ke bilik, saya pelik sebab dia sebut ALLAH dalam tidur. Saya pun tak hiraukan dan terus bersiap untuk ke kedai makan bersama ayah,” katanya.

Mohamad Zaid yang menuntut di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) tergerak hati untuk pulang ke rumah menemui keluarganya, walaupun pada mulanya bercadang untuk pulang pada cuti Hari Kebangsaan minggu depan.

“Hati saya meronta-ronta nak balik juga ke kampung minggu ni (Jumaat lalu). Tak sangka, saya sempat menatap arwah kembar saya buat kali terakhir,” ujarnya.

Bapanya, Zulkifli Mohamed Halid, 54, berkata, kehilangan arwah adalah dugaan kedua kepada keluarganya selepas dia kematian isteri, Raudah Hasbullah, September tahun lalu akibat komplikasi buah pinggang.

“Saya reda. Sekelip mata saja orang saya sayangi pergi tinggalkan kami sekeluarga,” ujarnya.

Zulkifli memberitahu, anak kembar sulung daripada lima beradik itu telah banyak berkorban dalam keluarga apabila terpaksa menangguhkan pengajiannya sejak tiga bulan lalu kerana terpaksa menjaganya yang baharu menjalani pembedahan kaki kanan.

“Kaki kanan saya terpaksa dipotong sebelum Ramadan lalu akibat kencing manis. Arwah dengan rela hati pikul tanggungjawab jaga saya. Saya amat merasai kehilangannya,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment