Search This Blog

Tuesday, August 25, 2015

Polis Thai tangkap jurugambar bawa jaket kalis peluru



ANTHONY dilihat berada dalam penjara semalam selepas dia ditahan kerana membawa topi keledar dan jaket kalis peluru semasa mahu menaiki penerbangan di Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok, Thailand pada hari sebelumnya.


BANGKOK – Seorang jurugambar Hong Kong menyatakan semalam bahawa dia telah ditahan di Thailand kerana membawa topi keledar dan jaket kalis peluru semasa membuat liputan situasi selepas serangan bom di Kuil Erawan, Bangkok pada minggu lalu.
Jurugambar kumpulan media Initiun, Anthony Kwan Hok Chun ditahan polis semasa mahu menaiki penerbangan di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok petang kelmarin.
“Masih menunggu di balai polis lapangan terbang. Saya cuma tahu saya akan dibawa ke mahkamah,” katanya melalui mesej kepada agensi berita AFP pagi semalam.
Media antarabangsa berpusu-pusu mengunjungi Thailand selepas serangan bom pada Isnin lalu. Tragedi di tengah Bangkok itu menyebabkan 20 orang terbunuh dan ramai lagi cedera.
Belum ada tangkapan dibuat setakat ini dengan pasukan polis berusaha untuk mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab melakukan serangan itu yang turut menjejaskan industri pelancongan Thailand.
Kelab Koresponden Asing Thailand (FCCT) mengkritik penahanan Anthony selepas mereka dimaklumkan jurugambar itu akan didakwa di sebuah mahkamah tentera.
“Dia didakwa membawa senjata haram dan boleh dipenjarakan sehingga lima tahun. Anthony dibicarakan di sebuah mahkamah tentera. Topi keledar dan jaket kalis peluru tidak boleh dianggap sebagai senjata berbahaya,” kata FCCT melalui satu kenyataan.
Peralatan perlindungan asas yang biasa digunakan petugas media di seluruh dunia seperti topeng gas, jaket kalis peluru dan topi keledar perlu dilesenkan kerana diklasifikasi sebagai senjata di bawah Akta Kawalan Senjata Thailand. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0825&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3jm3iahha 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment