Portal UPI melaporkan, saman itu dikemukakan James Bassos terhadap syarikat penerbangan yang berpangkalan di Abu Dhabi itu, selepas dia mengalami kecederaan kerana ditempatkan di sebelah kerusi seorang lelaki obes dalam penerbangan dari Dubai ke Sydney pada Oktober 2011.
Dalam dokumen samannya, Bassos mendakwa dia terpaksa ‘meliuk-lentok’ di kerusinya untuk mengelak bersentuhan dengan penumpang tersebut yang dilaporkan batuk sepanjang penerbangan dan sekali-sekala ‘mengeluarkan cecair dari mulutnya’.
“Selepas berulang kali mengemukakan permintaan kepada anak kapal, Bassos diberikan akses terhad di kerusi anak kapal, tetapi keadaan tersebut menyebabkan kecederaan belakang badan yang dialaminya bertambah buruk,’’ jelas dokumen yang difailkan oleh peguam Bassos.
Etihad yang tidak berjaya membatalkan kes tersebut, berhujah bahawa pihaknya tidak bertanggungjawab ke atas sebarang kecederaan yang dialami Bassos kerana keadaan kesihatannya itu bukan berlaku akibat kemalangan.
Hakim Mahkamah Daerah Brisbane mengarahkan Bassos menjalani pemeriksaan kesihatan.
Syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan mencabar tindakan saman yang dikemukakan oleh Bassos tersebut dan akhirnya mahkamah mengarahkan lelaki berkenaan menjalani pemeriksaan kesihatan pada Disember ini.
‘‘Kami percaya perkara ini akan selesai dalam tempoh terdekat,’’ jelas Etihad.