Search This Blog

Tuesday, August 4, 2015

Padah dakwa Imam Mahadi


Jakarta: Sebelas warga Indonesia termasuk seorang lelaki yang mengaku sebagai Imam Mahadi ditahan pihak berkuasa Arab Saudi selepas melakukan solat sunat Aidilfitri di depan Kaabah sehari selepas 1 Syawal lalu.

Pengarah Perlindungan warga Indonesia dan Bantuan Undang-Undang, Lalu Muhammad Iqbal berkata, mereka ditahan pada 18 Julai lalu sehari selepas Aidilfitri di sambut secara rasmi di Arab Saudi.

Katanya, jemaah umrah yang terdiri daripada sembilan lelaki dan dua wanita itu ditahan ketika mendengar khutbah Aidilfitri yang disampaikan ketua mereka.

“Kumpulan yang berpakaian serba hitam ini melakukan solat sunat Aidilfitri di kawasan makam Nabi Ibrahim sebelum mengelilingi ketua mereka untuk mendengar khutbah.

“Perbuatan mereka mengganggu jemaah lain yang melakukan tawaf sehingga menyebabkan mereka melaporkan kejadian itu kepada polis,” katanya.

Menurut Lalu, polis pada mulanya meminta kumpulan itu bersurai, tetapi mereka enggan menyebabkan pihak berkuasa bertindak menahan mereka.

Ketika disoal siasat ahli kumpulan itu mendakwa ketua mereka yang dikenali sebagai Zubair Amir Abdullah, 47, adalah Imam Mahadi.

Kumpulan itu juga yakin Aidilfitri jatuh pada 18 Julai sedangkan kerajaan Arab Saudi menetapkan perayaan itu disambut pada 17 Julai.

“Pihak berkuasa Arab Saudi membawa lelaki itu ke sebuah hospital mental untuk pemeriksaan selepas dia mengaku dirinya Imam Mahadi,” jelasnya.

Kata Lalu, kerajaan Indonesia akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Arab Saudi untuk membebaskan kumpulan itu yang menggelar diri mereka Himpunan Pemuda Sinar Syahid (Himpass).

“Sudah tentu kerajaan berusaha untuk membebaskan mereka.

“Kementerian Agama sudah berhubung dengan kedutaan Indonesia di Arab Saudi bagi membincangkan perkara itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2015 @ 11:00 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/67938#sthash.u9JLUEtd.dpuf

No comments:

Post a Comment