SEBAHAGIAN daripada 81 penagih termasuk seorang remaja perempuan bawah umur yang ditahan dikawal oleh Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) dalam Ops Sarang di sekitar Pokok Sena, Kedah, semalam. BERNAMA
ALOR SETAR 24 Ogos – Polis menahan 81 orang termasuk seorang remaja perempuan berusia 15 tahun serta merampas pelbagai jenis dadah dalam Ops Sarang yang dijalankan selama dua hari bermula semalam di sekitar Pokok Sena di sini.
Timbalan Komander Pasukan Khas Taktikal dan isikan Narkotik (STING) Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, operasi tersebut yang bermula pukul 4 petang semalam sehingga 12 tengah hari ini dijalankan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Menurutnya, operasi ditumpukan di enam lokasi dikenal pasti sebagai sarang penagih dadah.
“Kebanyakan sarang yang diwujudkan ini masih baharu dan kita nak musnahkan... mereka yang ditahan adalah dari luar (daerah ini) dan penduduk kampung (daerah ini).
“Sarang penagih dadah ini dipercayai aktif sejak lebih sebulan lalu dan kawasan tersebut dijadikan lokasi penagihan dan pusat mendapatkan bekalan dadah,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, pihaknya akan terus menjalankan pemantauan selama 48 jam di kawasan sarang penagih dadah tersebut bagi memastikan kawasan tersebut tidak lagi menjadi tumpuan penagih.
“Sepanjang dua hari operasi dijalankan kami merampas 9.66 gram heroin, syabu (2.27 gram), ganja (1.30 gram), daun ketum (2,000 gram) dan air ketum (dua liter),” jelasnya.
Abdul Jalil berkata, kesemua yang ditahan terdiri daripada 78 lelaki dan tiga wanita berumur antara 15 hingga 57 tahun itu dibawa ke IPK Kedah untuk menjalani ujian air kencing.
Katanya, pihak polis amat mengalu-alukan maklumat daripada orang awam bagi memastikan sarang penagih dadah dapat dibanteras sepenuhnya.
No comments:
Post a Comment