Perkara itu bakal terjadi apabila kemasukan warga Afrika tanpa penapisan ‘khusus’ dijangka memudaratkan negara ini berikutan sindiket tersebut dikesan mula melakukan penipuan terhadap mangsa-mangsa di luar negara.
Menurut satu sumber, sindiket penipuan yang didalangi warga Afri­ka itu mula menyasarkan individu dari luar negara seperti Singapura, Hong Kong, Taiwan, Kanada dan Austalia.
Sumber berkata, keuntungan yang diperoleh daripada mangsa luar negara jauh lebih besar daripada mangsa tempatan kerana nilai mata wang mereka yang besar di Malaysia dan Afrika.
“Polis mengesan, sindiket dari negara terbabit mahu menjadikan Malaysia sebagai hab dalam peni­puan African Scam kerana kemudahan yang ada di negara ini seperti sistem perbankan yang teratur serta kebanjiran warga Afrika di sini.
“Walaupun kebanyakan mangsa yang dikesan adalah warga tempatan namun jika ‘pancing’ mengena mereka tidak akan melepaskan pe­luang memperdaya warga asing ke­rana transaksi yang akan diperoleh nanti jauh lebih banyak,” katanya.
Sumber turut memberitahu, siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan mangsa-mangsa sindiket African Scam yang berope­rasi di Malaysia adalah meliputi satu dunia.
Ini disebabkan terdapat sekurang-kurangnya 50 kumpulan sindiket penipuan yang didalangi warga Afrika di negara ini.
“Mereka ini dikesan bukan daripada satu sindiket yang sama tetapi dipercayai berasal dari satu kumpulan sindiket yang beroperasi di Nigeria. Setiap wang yang masuk ke dalam akaun akan dikeluarkan segera dan dipercayai terus di hantar ke negara terbabit.
“Dalam satu kes melibatkan seorang wanita warga Australia sindiket berkenaan telah berjaya menipu mangsa sebanyak beratus-ratus ribu dan terbaharu, seorang wanita Singapura turut berjaya diperdaya sehingga kerugian hampir RM100,000,” katanya.
Jelas sumber lagi, strategi peni­puan yang dilakukan terhadap mangsa warga asing juga tidak ba­nyak beza daripada penipuan kepada warga tempatan.
“Dalam penipuan Love Scam atau Parcel Scam sindiket disyaki menggunakan taktik dan ‘skrip’ sama yang digunakan terhadap warga tempatan.
“Mangsa ditipu di Facebook sama ada dengan taktik menghantar sejumlah wang untuk mendapatkan barangan berharga yang dihantar tetapi dihalang masuk di pintu ma­suk negara mereka atau taktik mahu meminjam wang untuk satu peluang perniagaan,” katanya.
Tambah sumber, tidak seperti proses penipuan warga tempatan, penipuan melibatkan mangsa luar negara lebih kompleks kerana melibatkan dua atau tiga buah bank sebelum wang terbabit berada di ta­ngan sindiket.