Sumber perubatan dan polis berkata, kejadian itu merupakan satu daripada serangan terbesar di pusat bandar itu sejak Perdana Menteri, Haider al-Abadi mengambil alih pentadbiran setahun lalu.
Kumpulan militan Negara Islam (IS) mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu dengan meletupkan sebuah trak yang sarat dengan bahan letupan di sebuah pasar yang sibuk di bandar Sadr di daerah Baghdad.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sebuah laman web, kumpulan militan IS berkata, pihaknya menjadikan tentera kerajaan dan militia Syiah di kawasan itu sebagai sasaran.
“Sebuah trak sejuk beku yang dipenuhi bahan letupan meletup di Pasar Jameela pada pukul 6 pagi waktu tempatan.
“Ramai orang terbunuh dengan anggota badan manusia yang berkecai bertaburan di jalan raya,” kata pegawai polis Muhsin al-Saedi.
Seorang wartawan Reuters menyaksikan buah-buahan dan sayur-sayuran bercampur dengan serpihan sampah selain berlumuran darah dan berselerakan.
Asap tebal kelihatan keluar dari kawasan letupan dan serpihan trak yang meletup.
Orang ramai yang marah berhimpun di lokasi letupan, dengan sebahagian daripada mereka kelihatan menangis dan menjerit memanggil nama sanak saudara mereka yang hilang dalam insiden itu, manakala yang lain mengecam kerajaan Iraq. – REUTERS