Gambar bertarikh kelmarin memaparkan papan iklan tertera lakaran wajah suspek penyerang di Kuil Erawan, tengah Bangkok.Polis Thai menghadapi kesukaran memburu suspek berikutan masalah banyak CCTV yang tidak berfungsi di ibu negara. – AFP
BANGKOK 24 Ogos - Polis Thailand hari ini menemukan sebutir bom di dalam sebuah rumah di ibu negara ini dan mematikannya, seminggu selepas satu serangan letupan menyaksikan 20 orang terbunuh di tengah Bangkok.
Komander Pasukan Ordinan Bahan Letupan Polis, Kamthorn Aucharoen berkata, pihaknya menerima laporan petang ini tentang penemuan bom itu di Pangspauri Sukhumvit 81.
“Kami menjumpai bom berkenaan di dalam sebuah rumah milik seorang buruh.
“Kami telah mematikan bom itu dan akan memusnahkannya,’’ katanya kepada Reuters.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Thailand, Jeneral Somyot Poompanmoung berkata, pemburuan suspek letupan Isnin lalu semakin sukar berikutan keadaan kebanyakan kamera litar tertutup (CCTV) yang tidak berfungsi di tengah Bangkok.
“Kadang-kala, di sebatang jalan ada sehingga 20 buah CCTV, namun hanya lima yang berfungsi.
“Sebanyak 15 buah lagi mungkin rosak,” jelas beliau.
Somyot berkata, kira-kira 90 peratus maklumat yang diterima oleh polis berhubung serangan bom itu juga adalah palsu.
“Buat masa ini, saya yakin suspek masih berada di Thailand kerana saya tidak menerima maklumat menyatakan dia telah ke luar negara,” katanya. – Reuters/dpa
No comments:
Post a Comment