Mereka yang dikenali sebagai Ilya dan Tihani masing-masing berusia 20 tahun mendakwa membeli tiket penerbangan dua hala pada 14 April lalu menerusi sebuah agensi pelancongan di Turki dengan harga RM2,100.
Bagaimanapun, kedua-dua pelajar itu yang sepatutnya berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 11.30 malam terkejut apabila tempahan yang didakwa dilakukan agensi berkenaan tidak wujud di dalam talian ketika dia mahu mendaftar masuk ke kaunter pendaftaran berlepas.
Mereka terpaksa mengeluarkan belanja RM2,500 untuk membeli tiket penerbangan baharu.
Menurut Ilya, dia pulang ke tanah air pada 2 Julai lalu bersama empat lagi rakannya, bagaimanapun hanya dia dan Tihani membeli tiket dua hala kerana agensi berkenaan menawarkan harga yang dianggap berpatutan.
Ujarnya, dia tidak menyangka tertipu, kerana ketika pulang ke negara ini bersama rakannya mereka tidak menghadapi sebarang masalah ketika berurusan di lapangan terbang.
Ilya berkata demikian kepada pemberita selepas membuat aduan kepada Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) di Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah Pembela BN negeri Amir Hamzah Ab Aziz.
Tambah Ilya, dia yang terkejut dengan apa yang berlaku terus menghubungi wakil agensi pelancongan berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp, namun mendakwa tidak mendapat maklum balas.
Katanya, keluarganya dan Tihani yang terkejut terus mendapatkan harga tiket penerbangan untuk pulang pada malam itu, bagaimanapun harga ditawarkan terlalu tinggi sehingga mencecah lebih RM4,000.