Search This Blog

Tuesday, August 25, 2015

Dua lelaki nekad serang polis


NIK AMIRULMU’MIN NIK MIN
25 OGOS 2015Dua lelaki nekad serang polis
Dua lelaki nekad serang polis Peralatan pecah rumah yang dirampas susulan penahanan dua suspek, awal pagi semalam.

KUANTAN - Dua lelaki yang terdesak untuk melepaskan diri selepas dikesan memecah masuk sebuah bangunan kedai di Jalan Wong Ah Jang  di sini, awal pagi semalam bertindak nekad menyerang polis dengan menyemburkan serbuk pemedih mata.

Bagaimanapun dalam kejadian kira-kira jam 12.30 pagi itu difahamkan anggota polis terlibat tidak mengalami kecederaan sebaliknya tindakan pantas mereka berjaya menahan suspek yang bersembunyi di atas bumbung bangunan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, susulan penahanan dua suspek berusia 31 dan 35 tahun berasal dari Kampung Sungai Belat dan Jalan Air Putih di sini itu, polis menemui dan merampas pelbagai mesin dan perkakasan disyaki digunakan untuk aktiviti pecah masuk bangunan.

Menurutnya, polis juga turut menemui dan merampas sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang digunakan suspek.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Kuantan diketuai Ketua Balai, Asisten Superintendan Abd Rahim Idris ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan.

“Ketika tiba di lokasi, anggota terlibat menyedari terdapat dua lelaki berada dalam bangunan kedai lalu mereka cuba masuk untuk memberkas suspek,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Abdul Aziz berkata, anggotanya nyaris tercedera apabila suspek bertindak menyemburkan serbuk pemedih mata dalam cubaan menghalang anggota polis tersebut daripada menahan mereka.

“Bagaimanapun, selepas beberapa minit, pasukan itu berjaya masuk dan menahan suspek ketika sedang  bersembunyi di atas bumbung bangunan,” katanya.

Menurutnya, berikutan penahanan suspek polis menemui satu beg mengandungi mesin pengimpal, satu botol serbuk pemedih mata jenama Nivea Men Cool Kick, mesin pencanai, dua pasang tangga, dua lampu suluh dan pelbagai peralatan lain serta kereta yang
digunakan.

“Suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana terbabit dalam kegiatan pecah rumah.

“Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti kemungkinan suspek terlibat dalam kes-kes pecah rumah atau bangunan kedai yang lain yang dilaporkan sebelum ini,” katanya.

Abdul Aziz berkata, berdasarkan penemuan peralatan yang digunakan, polis tidak menolak kemungkinan suspek bergerak aktif melakukan jenayah itu dan menjadikan premis kedai sebagai sasaran.

“Pada masa yang sama, kita cuba mengenal pasti sekiranya ada pihak lain yang terlibat atau bersubahat termasuk pembeli barangan hasil kegiatan itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment