Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, kejadian berlaku pukul 9.25 malam ketika mangsa berusia 35 tahun baru selesai membeli-belah di pasar raya berkenaan.
“Mangsa sedang memunggah barang ke dalam bonet keretanya sebelum ditembak dari jarak dekat, mengakibatkannya rebah dan mati di tempat kejadian.
“Berdasarkan siasatan, hanya satu das tembakan dilepaskan mengenai bahu sebelah kiri dan tembus keluar melalui bawah ketiak kanan mangsa,” katanya di sini hari ini.
Menurut Sulaiman, pemeriksaan di lokasi kejadian menemukan satu kelongsong peluru dan beberapa barangan kes lain yang dipercayai dapat membantu siasatan kes tersebut.
Katanya, pihaknya turut tidak menolak kemungkinan senjata yang digunakan dalam kejadian itu adalah daripada jenis semi auto.
Menurut beliau, motif sebenar kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran atau talian hotline 07-2218 999.