Search This Blog

Tuesday, August 25, 2015

Diperdaya RM15,000 dengan alasan mahu sekolahkan anak


25 Ogos 2015 1:08 AM



KUALA LUMPUR 24 Ogos – Sindiket African Scam bukan sahaja menggunakan kaedah ‘cinta maya’ dalam modus operasi penipuannya tetapi semakin licik dengan menjadikan agama sebagai medium me­raih simpati mangsa.
Presiden Persatuan Ke­bajikan Wanita, Ibu Tunggal dan Warga Emas (Perwatie), Datin Azizah Mat Hassan berkata, beliau mendapat aduan daripada seorang wanita yang telah ditipu sebanyak RM15,000 oleh warga Afrika kononnya mahu menghantar anak belajar agama.
“Lelaki terbabit memberi alasan di Afrika sukar untuk mencari sekolah agama, lalu menyuarakan hasrat untuk menghantar anaknya di sekolah tahfiz di Malaysia. Atas dasar kasihan, wanita itu bersetuju untuk membantunya.
“Setelah ‘sampai’ di Malaysia, lelaki itu memberitahu bahawa wangnya disekat oleh kerajaan Malaysia dan pada mulanya meminta wanita berkenaan meminjamkan RM5,000. Tidak lama kemudian meminta RM10,000 lagi kerana tidak cukup wang,” katanya.
Beliau mengulas laporan khas Utusan Malaysia tentang Malaysia dikhuatiri menjadi hab kepada sindiket African Scam kerana kemudahan yang ada di negara ini seperti sistem perbankan teratur serta kebanjiran warga Afrika ketika ditemui dalam Forum Membudayakan Amalan Inklusif sempena Hari Wanita di sini hari ini.
Sindiket terbabit juga didakwa menggunakan wanita tempatan untuk melancarkan operasi penipuan selain memperdaya mangsa dengan menggunakan akaun bank warga tempatan dalam menjalankan transaksi berkenaan.
Tambah Azizah, wanita tersebut hanya sedar ditipu apabila warga Afrika itu mendesak supaya memasukkan lagi RM30,000 ke dalam akaunnya dan berjanji untuk membayar semula setelah mendapatkan wang yang telah disekat namun tidak dilayan.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pekerja Wanita Malaysia (Perwanis), Silam Hassan berkata, kerajaan perlu melakukan sesuatu bagi mengatasi kegiatan African Scam daripada terus menular dan menjadikan rakyat di negara ini sebagai sasaran khususnya wanita.
“Kerajaan perlu melihat perkara ini secara serius dengan melaksanakan pelbagai langkah termasuk menjalankan kempen kesedaran, perba­nyakkan pendedahan, mempergiatkan tangkapan dan memantau laman web berkaitan,” ujarnya.
Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabudin pula berkata, wanita seharusnya lebih berhati-hati dan tidak mudah mempercayai sesuatu perkara yang belum pasti kesahihannya.
“Dalam hal ini wanita sepatutnya pandai menimbang sesuatu perkara itu dan jangan terlalu cepat percaya,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/diperdaya-rm15-000-dengan-alasan-mahu-sekolahkan-anak-1.128253#sthash.6pIsoGZd.dpuf

No comments:

Post a Comment