Namun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa angka kematian bakal meningkat secara drastik dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Difahamkan, banjir kali ini menjejaskan lebih 150,000 penduduk dan situasi itu memaksa kerajaan Myanmar mengisytiharkan darurat di empat wilayah utama yang paling teruk dilanda banjir.
Menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA), pihaknya telah dimaklumkan oleh kerajaan Myanmar bahawa sekurang-kurangnya 156,000 orang terpaksa dipindahkan.
Bagaimanapun katanya, angka tersebut kemungkinan meningkat mendadak kerana banyak kawasan yang belum dapat dicapai oleh pasukan penyelamat lapor AFP.
"Maklumat awal mengesahkan 27 orang terkorban, namun kami percaya angka tersebut jauh lebih besar dan dijangka meningkat," menurut kenyataan rasmi OCHAm, semalam.
Sementara itu, media tempatan melaporkan mangsa banjir dari etnik Islam Rohingya dilarang berlindung di bangunan sekolah atau balai raya.
Menurut PBB, 140,000 orang sebahagian besarnya daripada etnik Rohingya terjejas di Sittwe dan perlu diberikan bantuan segera.
Hujan dalam beberapa minggu kebelakangan ini merosakkan kira-kira 150,000 rumah dan ladang di seluruh rantau ini, selain penduduk terkandas dan menunggu bantuan daripada kerajaan.
Selain Myanmar, berpuluh-puluh penduduk di India, Nepal, Pakistan dan Vietnam dilaporkan terkorban akibat banjir yang melanda negara mereka.